Rome....yang pahit

Dari bandar Florence, kami sampai di Rome hampir pukul 11 malam. Sepatutnya sampai awal, tapi tren delay. Dari Roma Termini Station, kami naik metro menghala ke Tiburtina Station untuk ke Hotel Felice. Kat sini, kami dah mula didatangi perkara "tak best".

Tren ni rupanya tak berhenti pun di stesen tersebut sebab under construction. Nasib baik la ada seorang makcik dalam tren tu yang bagitau tren tak berhenti kat situ. Bercakap macam ayam dan itik, sebab dia bercakap dalam bahasa Itali. Punya panjang lebar dia menerangkan, sepatah pun kami tak faham. Apa yang kami faham, dia nak kata tren tak berhenti di situ. Kami pun turun di Quintiliani Station. Tak tahu nak kemana dah. Cari jalan nak keluar dari situ pun satu hal. Terpusing-pusing tempat yang sama. Seorang manusia pun tak ada kat situ. Maklum, dah malam.

Bila dah berjaya keluar dari situ, kami tanya pada pekerja Metro tu. Kami kena patah balik ke Bologna Station dan ambil shuttle bus kat situ untuk ke stesen Tiburtina.

Dah berjaya sampai di stesen Bologna, tunggu punya tunggu, bas tak muncul-muncul. Bahu dah makin sakit ni menggalas beg yang berat, depan dan belakang badan. Akhirnya, kami putuskan untuk naik teksi ke hotel Felice.

Kalau dah awal-awal dapat petanda "tak best" tu, maka berturutanlah ianya berlaku. Sampai kat hotel, receptionist hotel kata, tempahan bilik kami dah dibatalkan. Itupun jenuh nak faham sebab sepatah habuk pun dia tak reti berbahasa inggeris. Cuma gerak dan gaya tangannya yang buat macam "batal" tu membantu kami untuk faham. Sakit hati, kecewa dan takut, semuanya ada dalam diri kami. Dia kata masa kawan aku booking tu, duit tak ada dalam akaun kad debit. Padahal, duit ada dan pihak hotel langsung tak email mengatakan transaksi tu gagal. Dah la pak cik tua tu bercakap macam nak marah.

Dah membazir duit 10 euro buat tambang teksi tadi. Kami tak pergi pun hotel lain yang pakcik tu dah call untuk kami tadi. Tahan teksi, patah balik ke Termini Station.

8 euro pula melayang. Kawasan sekitar stesen ni banyak hotel. Jam dah pukul 12 tengah malam, kami berdua menapak dari satu hotel ke satu hotel. Kebanyakan hotel dah penuh. Kalau ada pun, hanya available untuk satu malam dan bilik single.

Di kawasan sekitar tu memang ramai yang menghampiri kami menawarkan bilik hotel untuk disewa. Tapi kami tak berani sebab tak tahu macam mana rupa hotel, dan kat mana kedudukannya.

Akhirnya kami dapat sebuah bilik di Hotel Vigilio setelah direkomen oleh staff hotel lain. Terletak agak jauh dari Termini Station. Mereka sewakan teksi untuk ambil kami dari Termini dan bayaran pun dilunaskan oleh mereka.

Bayaran hotel memang mahal. 110 euro untuk satu malam. Belum campur tax. Bayaran untuk dua malam termasuk tax, 228 euro. Tu dia harga untuk last minute. Kena "paw" cukup-cukup kami. Memang mahal tapi dah tak ada pilihan lain. Nak mencari hotel lain belum tentu ada dan sudah terlalu jauh malam. Badan pun dah letih sangat.

Bilik yang kami dapat jenis family room. Hanya tu aje yang available untuk malam tu. Esok kena pindah bilik lain. Kecewa sangat sebab bajet untuk hotel dah lari dek kerana perkara tak terjangka macam ni.

Masuk aje bilik, buka kasut dan tudung, kami terus tidur sebab rasa penat dan frust teramat sangat. Nak marah, tapi pada siapa?

Perkara kedua tak best tu belum berakhir kat situ. Esok malamnya pula, sebaik sahaja balik ke hotel setelah seharian berjalan, kami dikhabarkan pula bilik kat hotel tu dah penuh. Mereka dah bookingkan bilik di Hotel Torino pula. Adeehhh, apasal la berturut-turut ditimpa nasib malang. Duduk kat Rome asyik membilang hotel dan teksi aje la kami.

Berkali-kali la si petugas Hotel Vigilio tu minta maaf atas kesilapan mereka. Nasib baik hotel baru yang mereka carikan tu, kami tak perlu bayar dah. Teksi pun mereka bayarkan. Hotel pula 4 bintang. Terletak pula dekat Termini Station. Senang kami nak naik tren ke airport pagi-pagi esoknya, hanya berjalan kaki dari hotel.

Cuma satu yang buat kami geram cara pengurusan Hotel Vigilio tu. Minta passport kami untuk rekod maklumat diri kami, tapi nak simpan kat kaunter dengan alasan lambat dia nak isi dalam komputer. Bila kami bertegas nak ambil passport tu, baru lah dia kata, kena tunggu 10 minit. Ingat kena tunggu 10 jam yang beria sangat dia nak simpan passport tu.

Tu baru kisah hotel. Belum lagi dengan sikap orang-orangnya. Memang sangat menyakitkan hati. Langsung tak welcoming pelancong. Sombong sangat. Pengalaman ni sangat mengajar kami betapa bertuahnya menjadi rakyat Malaysia.

Comments

Post a Comment

Ingatlah...Setiap Perkataan Diadili Kelak

Popular posts from this blog

About Sweden...

#4. Projek Mengecat

Tak ada "ong"