Travel 2012
Hari kedua bertugas selepas bercuti panjang. Walaupun setiap kali berjumpa rakan sekerja yang tidak tahu aku bercuti, menegur "lama tak nampak?" tapi bagi aku masa berlalu begitu cepat. Lama bagi mereka, aku rasa pendek aje cuti aku.
Masih segar di ingatan saat menjejakkan kaki di lapangan terbang Arlanda, Stockholm pada 6 Mei 2012 yang lalu. Kami sampai pada pukul 2 petang. Waktu itu, masyarakat Malaysia barangkali sedang sibuk menyediakan keperluan pakaian kerja mahupun sekolah untuk memulakan hari pertama dalam seminggu.
Tersangkut lama ketika melepasi kawalan imigresen Sweden. Macam-macam ditanya. Walaupun telah diberikan maklumat lengkap alamat rumah dan universiti kawan aku menuntut, mereka tetap soal macam-macam. Bukan setakat tunjuk tiket penerbangan balik, saiz rumah kawan aku pun ditanya. Sampai satu peringkat, kena tunjuk duit yang kami bawa.
Tengoklah betapa sukarnya masyarakat luar (terutama dari Asia dan berhijab) nak masuk ke negara Eropah. Macam kita ni datang nak mengemis di negara mereka. Aku bukan skeptikal. Apa aku tulis adalah berdasarkan pemerhatian sendiri. Sebelum kami, beberapa orang pelawat dari Asia juga melalui perkara yang sama. Ditanya macam-macam hingga tersangkut di kaunter imigresen lebih 15 minit.
Alasan mereka senang aje. Kos sara hidup di Sweden tinggi. Dalam erti kata lain, mereka ni takut masyarakat luar ambil kesempatan datang ke sini untuk bekerja secara haram.
Itu kisah di imigresen. Dek kerana tersadai lama di imigresen, apabila nak ambil beg, hanya satu beg yang keluar dari baggage carousel. Nasib baik tergerak hati untuk round hujung baggage carousel. Rupa-rupanya, dua buah beg kami dah tersadai atas lantai. Manakala kotak pula kena ambil di kaunter lain sebab ianya diklasifikasikan sebagai special luggage. Satu lagi pengalaman baru dikutip.
Suhu di Stockholm sangat sejuk ketika itu. Masuk hari kedua, kulit mula gatal-gatal dan ditumbuhi ruam. Ini perkara biasa bagi aku. Datang musim panas pun aku tetap dihinggapi penyakit gatal-gatal kulit ni. Walaupun menyapu body butter, losyen mahupun minyak dabus seluruh badan, kulit tetap makin gatal dan mengering. Kulit muka, terutama pipi dan hidung kering dan mula menggelupas. Sangat seksa dan rasa sangat hodoh apabila muka jadi berbulu dengan kulit yang menggelupas. Hidung juga mula berdarah. Itu pengalaman yang rasanya semua orang yang datang dari negara beriklim lembap, akan lalui.
Comments
Post a Comment
Ingatlah...Setiap Perkataan Diadili Kelak