Beijing dan kehilangan

Hari yang malap dan muram.

Seluruh negara masih terus berdoa dan menaruh harapan pesawat MH370 yang hilang sejak 9 hari lalu akan ditemui dalam keadaan selamat. Banyak teori dan spekulasi yang bertebaran di media sosial. Pasukan keselamatan terus menerus berusaha menjejaki dan merungkai petunjuk yang ada.

Sehingga kini, aku sendiri masih tidak percaya telah kembali ke tanah air dengan selamat. Masih terasa-rasa 'kegedikan' aku untuk membeli tiket MAS pada tarikh dan waktu yang sama pesawat itu hilang. Harga promosi yang ditawarkan membuat aku dan adik-adik teruja untuk membeli tiket.

Mujurlah, ketika dalam proses pembelian tiket secara online, nombor passport diperlukan untuk meneruskan pembelian. Ada passport antara kami termasuk aku telah tamat tempoh. Tertangguh pembelian tiket kami ketika itu.

Apabila passport telah diperbaharui, harga promosi telah pun tamat.

Enggan membazirkan duit untuk tiket yang mahal, kami putuskan untuk beli sahaja pakej all-in yang ditawarkan oleh agen pelancongan. Naik Air Asia pada tarikh 7 Mac 2014 dan dijadualkan sampai di airport Beijing pada pagi 8 Mac 2014.

Pagi 8 Mac 2014, aku menerima panggilan dari kawan ketika sedang terkocoh-kocoh ingin ke cafe hotel untuk bersarapan. Panggilan pertama yang aku andaikan sebagai tersalah dail itu, diabaikan.

Sehinggalah beberapa kali panggilan tidak aku jawab, sms pula dihantar bertanyakan aku ok ke tidak.

Pada masa itulah baru aku mengetahui berita tentang MH370. Ketar lutut ketika menerima perkhabaran itu. Terbayangkan jika kami yang berada di dalam pesawat tersebut.

Perasaan lega sekejap apabila mendapat berita, pesawat itu rupanya membuat pendaratan kecemasan di daerah Nanming, China. Alhamdulillah ucap kami berlima.

Namun, perasaan lega itu tadi bertukar sedih semula. Laporan itu berita palsu. Astagfirullah. Kenapa la ada manusia yang boleh mereka berita palsu. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan nyawa manusia.

Menurut pemandu pelancong kami, MH370 dikhuatiri terhempas di lautan vietnam. Ternganga sekali lagi kami. Masih juga terbayang, andai kata kami turut berada di dalam pesawat itu.

Benarlah, tidak akan terjadi sesuatu perkara jika Dia berkata 'tidak'.

Secara peribadi, coretan ini bukan untuk menunjukkan betapa bersyukurnya kami kerana terselamat dari trajedi itu di saat orang lain sedang dalam kesedihan. Masih menanti penuh debar pengakhiran misteri ini.

Hanya ingin mengingatkan diri sendiri bahawasanya, apa sahaja yang berlaku adalah atas kehendak Yang Maha Esa.

Hikmahnya yang aku sendiri lalui, terselamat dari menaiki pesawat itu kerana Allah telah mengaturkan untuk aku menghadapi saat kesedihan yang amat dalam sekembalinya dari Beijing.

Ok cukup. Air mata akan tumpah lagi jika disentuh tentang kehilangan itu.

Doaku semoga Allah melindungi semua yang berada di dalam MH370 dan selamat kembali ke pangkuan keluarga masing-masing. Amin...





Comments

Popular posts from this blog

About Sweden...

#4. Projek Mengecat

Tak ada "ong"