07 Oktober 2008_Riga.Latvia
Selamat berlabuh di Riga pada pukul 9.30 pagi. Kami hanya ada masa lebih kurang 7 jam sahaja untuk melawat bandar Riga sebelum naik kapal semula petang nanti. Berpandukan peta yang ada di tangan, kami memulakan perjalanan.
Di sini, cuaca agak berbeza dengan Stockholm. Walaupun matahari memancar terang, masih terasa sejuk.
Latvia, yang berada di bawah kekuasaan Soviet Union mendapat kemerdekaan pada tahun 1991. Terletak di pantai Baltic, Latvia merupakan negara dengan dataran rendah yang membekalkan kayu hutan terbesar bagi industri pembinaan dan pembuatan kertas. Persekitaran negara ini juga kaya dengan hidupan liar.
Riga merupakan ibu negara dan bandar terbesar di Latvia. Ditubuhkan pada tahun 1201, Riga merupakan bandar terbesar di antara tiga negara Baltic (3 negara Northern Eropah iaitu Estonia, Latvia dan Lithuania) dan ketiga terbesar di antara Baltic Region selepas Saint Petersburg dan Stockholm.
Riga terbahagi kepada dua bahagian yang dipisahkan oleh Sungai Daugava iaitu Vecriga (Old Riga) dan Pardaugava. Kedua-dua bahagian bandar ini dihubungkan oleh lima jambatan di mana salah satunya khusus untuk laluan keretapi.
Ini adalah salah satu jambatan kabel yang merentangi Sungai Daugava. Panjang jambatan yang diberi nama Vanšu Bridge ini adalah 595 meter, dibina pada zaman Soviet memerintah dan mula dibuka kepada umum pada tahun 1981.
Dari atas Vanšu Bridge
Sungai Daugava ini pula bermula dari Valdai Hills yang terletak di Russia Barat (juga dikenali sebagai Dvina Barat) melalui Belarus, Russia terus ke Teluk Riga di Latvia.
Dalam masa yang terhad, kembara kami hanya sempat menelusuri Vecriga (Old Town). Indahnya pemandangan sepanjang perjalanan yang dilatari pelbagai jenis pokok berdaun kuning dan coklat. Musim luruh yang selama ini hanya aku tatap dalam tv.
Walaupun jauh berjalan dari pelabuhan tadi ke Old Riga ini, namun tidak terasa sangat kepenatan kerana suhu sejuk dan nyaman. Kami menyelusuri lorong-lorong antara bangunan di sini. Banyak bangunan yang sedang dalam proses pembaikpulihan. Walaupun pernah melalui Perang Dunia I dan II, kebanyakan bangunan lama di sini masih terpelihara dan unik. Tidak hairanlah apabila Riga diiktiraf oleh UNESCO World Heritage Site sebagai pusat warisan sejarah dunia.

Benar atau tidak, Riga dikatakan sebagai Home of the first Christmas Tree?
Old Gertrudes Church
The Powder Tower
The Occupation Museum of Latvia 1940-1991
The House of BlackHeads
The Cat House
St Peters Church
The Dome Cathederal
St Johns

Gambar kanan ini adalah salah satu kedai cenderahati yang terletak berhadapan dengan The City Wall.






Budak comel ini kami temui setia menemani tuannya yang berniaga di tengah bandar ini. Dia nampak sangat mengantuk. Dalam keadaan sejuk macam ni, sedap sungguh tidur beralaskan kain bulu ini. Comel sangat. Sayangnya, kucing di sini tak faham bila panggil "meow".Huhuhu..
Kami berpatah balik ke pelabuhan lebih awal sebab takut tertinggal kapal. Sempat berkelah bawah pokok berdaun kuning ini untuk mengisi perut.
Sebelum check-in, kami tukar baki duit Latvian Lat (LVL) ke Swedish Cronor semula. Barang di sini memang mahal. Kami hanya mampu membeli poskad sebagai tanda kenang-kenangan untuk diri sendiri.
Lorong menuju ke kapal
Tepat mengikut jadual, kapal ini mula bertolak meninggalkan tanah Riga. Bermakna, kami akan berada di atas laut selama 14 jam lagi. Selamat tinggal Riga!

Semasa lepak di deck ketika kapal mula meninggalkan pelabuhan, kami nampak bot kecil ini mengekori. Siap melambai-lambai tangan ke arah kami. Dalam hati mula cuak. Ya, imaginasi liar mula bermain di fikiran. Adakah mereka penjahat yang mungkin akan menculik kami? Oh! Tak sanggup membayangkan kemungkinan yang lebih buruk. Jom masuk!

Oleh kerana bekalan makanan dah habis, kena la kuatkan hati untuk beli makanan vegetable yang sangat mahal di cafe dalam kapal ini. Memang la bukan selera orang Malaysia, tapi apa boleh buat?
Mungkin kerana terlalu letih berjalan entah berapa kilometer siang tadi, tidur kami menjadi lebih lena malam ini. Alhamdulillah, perjalanan balik ke Stockholm lebih lancar.
Comments
Post a Comment
Ingatlah...Setiap Perkataan Diadili Kelak