04 July 2010_Jejak Al-Hambra (Part 3) @ Alcazaba
Tepat jam 2 petang, kami mula beratur untuk masuk ke Alcazaba. Alcazaba merupakan sebuah kubu Moor di Sepanyol. Perkataan Alcazaba itu sendiri berasal dari perkataan bahasa Arab, Al-Qasbah (القصبة) iaitu sebuah benteng atau kubu berdinding. Alcazaba wujud di Almería (terbesar), Antequera, Badajoz, Granada, Guadix, Málaga, Mérida (yang tertua), Molina de Aragón and Alcalá la Real. Kesemuanya terletak di Sepanyol. Di Alhambra, Alcazaba merupakan bahagian tertua yang membentuk istana Al-Hambra.
Adakah Alcazaba ini sama dengan Alcázar yang terdapat di Cordoba itu? Sebenarnya, kedua-dua perkataan ini mempunyai etimologi (cabang ilmu linguistik yang mengkaji asal usul dan perkembangan sesuatu kata) dalam bahasa Arab, Al-Qasr yang mana bermaksud benteng atau kubu.
Pembinaan Alcazaba merangkumi Torre del Cubo (Menara Bucket), Arms Square (Plaza de Armas), Arms Tower, Watch Tower (Torre de la Vela) dan Garden of the Ramparts (
Jardín de los Adarves).
Apabila anda berada di atas Torre del Cubo ini, Palace of Charles V dan Palacios Nazaries boleh dilihat dengan jelas. Menoleh ke kanan, pemandangan bandar Granada menjadi sajian mata.
Pemandangan Palace of Charles V (kanan) dan Palacios Nazaries (kiri)
Gambar tengah tu, pengunjung sedang beratur untuk masuk ke Palacios Nazaries.
Berdiri dari sini, anda boleh melihat pemandangan bandar Granada. Juga kelihatan dengan jelas, kawasan pergunungan yang diliputi salji memutih. Asyik memang asyik, tetapi pastikan anda membawa payung jika datang di musim panas. Kebarangkalian untuk mendapat sakit kepala amat tinggi akibat terdedah kepada cuaca yang begitu panas terik.
Cuaca panas terik ini membuatkan kulit terasa perit. Macam mana la agaknya orang zaman dahulu yang bertugas di atas menara ini pada musim panas. Keletihan kami berganda jadinya apabila perlu mendaki tempat yang tinggi, tangga yang curam dan lorong yang sempit. Mencabar ketahanan fizikal betul.
Turun dari Torre del Cubo ini, kami memanjat pula Arms Tower (Torre de las Armas). Pintu masuk menara ini usianya lebih tua dari Justice Tower (Torre de la Justicia), di mana lengkungan berbentuk tapak ladam kuda tersebut diperbuat dari batu bata, dihiasi dengan bunga dari potongan kaca hitam, putih dan hijau.
Torre del Vela atau juga dikenali sebagai Watch Tower, merupakan menara tertinggi di sini. Ukuran menara ini adalah 16m x 16m dengan ketinggian mencapai 26.80 meter. Ianya memiliki dasar yang solid dengan empat lantai dengan lengkungan yang didokong oleh tiang. Selama beberapa waktu, menara ini digunakan sebagai tempat kediaman, maka ianya telah diubahsuai. Di tingkat dua menara, terdapat merlons sehingga abad ke-16. Pada
tahun 1882, ianya telah dibina semula kerana musnah disambar petir.
Loceng ini merupakan elemen penting bagi menara ini. Dentingannya di waktu malam adalah sebagai penanda bagi para petani bahawa waktu menyiram tanaman telah tiba. Loceng ini akan berbunyi pada pukul 8 malam atau 9.30 malam dan berterusan dalam selang masa berbeza sehingga pukul 3 pagi atau 4 pagi bergantung pada musim. Fungsi lain loceng ini juga sebagai pemberi amaran sekiranya penduduk berada di dalam bahaya.
Hari ini, loceng hanya dibunyikan pada tarikh 2 Januari setiap tahun. Tarikh tersebut adalah tarikh Monarki Katolik berjaya merebut kota Granada dari pemerintahan Islam. Dalam erti kata lain, meraikan hari kejatuhan kerajaaan Islam. Walaubagaimanapun, dunia hari ini disogokkan dengan kepercayaan bahawa setiap wanita yang masih bujang, akan berkahwin sebelum akhir tahun sekiranya membunyikan loceng ini pada tarikh tersebut. Begitu halusnya "jarum" mereka.
Pemandangan dari atas puncak menara ini lebih luar biasa. Anda boleh menikmati keindahan bandar Granada, Sierra Nevada, the Vega (padang rumput) dan kampung-kampung sekitarnya.
Dari atas puncak tertinggi menara ini, boleh dilihat ke seberang lembah sungai di El Albaicin. Menara putih gereja Mirador de San Nicolás ini adalah penandanya. Di sinilah kami melihat Al-Hambra sewaktu matahari terbenam.
Bahagian terakhir Alcazaba yang kami lawati adalah Garden of the Ramparts. Dari sini, terus keluar dari Alcazaba.
Comments
Post a Comment
Ingatlah...Setiap Perkataan Diadili Kelak