04 July 2010_Jejak Al-Hambra (Final) @ Albaicín
Leganya dapat duduk dalam bas sambil makan ais krim.
Perjalanan dari Al-Hambra ke Albaicín ini tidak lama. Jalan yang dilalui oleh bas ini sangat mencabar. Menaiki bukit dan melalui lorong kecil di celah-celah bangunan. Adakalanya, rasa macam ngeri untuk buka mata.
Kami sebenarnya tidak pasti perlu turun di mana. Ketika seorang penumpang turun, kami pun ikut. Tercangak-cangak, tidak tahu perlu ikut jalan mana satu. Apabila nampak seorang lelaki lalu sambil memegang peta, kami putuskan untuk mengekori dia. Mesti pelancong ni nak cari tempat yang kami juga nak pergi. Alamak! Lajunya dia berjalan. Entah macam mana kami boleh hilang jejaknya. Banyak sangat lorong di celah bangunan rumah. Ke kiri atau kanan?
Seram dan ngeri mula timbul kerana kawasan ini sangat sunyi. Sepanjang jalan sejak turun dari bas tadi, hanya seorang dua manusia yang kami temui. Sesekali terdengar salakan anjing.
Tengah-tengah keliru tu, berjumpa dengan sepasang suami isteri (agak kami la kan). Setelah pasti mereka adalah orang tempatan, kami bertanyakan arah tempat dicari. Mereka pun tidak pasti tempat tersebut. Dengan berbahasa inggeris ala-ala bahasa Spanish, mereka cuba sedaya upaya membantu kami.
Sekali lagi, kami bertembung dengan pelancong yang mungkin tengah mencari tempat tersebut. Tanpa berlengah, kami mengekori.
Untuk pengetahuan anda, Albaicín ini kawasan berbukit. Dari sedatar-datar tanah, kami naik ke setinggi-tinggi kawasan. Oleh kerana permukaan buminya seperti ini, susunan rumah di sini menjadi lebih unik. Ada yang rendah, ada yang terletak di tempat yang tinggi. Kena panjat tangga.
Albaicín ini adalah bandar Moorish tertua di Granada. Terletak di bukit yang menghadap ke Al-Hambra.
Akhirnya, pencarian kami berhasil. Di sini kena mendaki tangga. Di sini juga berdirinya Church Of St. Nicholas. Orang sudah ramai berkumpul di kawasan lapang ini. Bermacam gelagat boleh dilihat. Pelbagai bahasa boleh didengari.
Bukan setakat ragam manusia yang boleh dilihat, gelagat anjing jinak ini mencuri perhatian kami. Baik sangat si ekor kontot, duduk atas kerusi batu ini. Penat berdiri, dia duduk. Penat duduk macam dalam gambar tu la jadinya. Macam bosan je dia. Sepanjang pemerhatian kami, anjing ini tidak ada tuan. Mungkin milik penduduk tempatan di sini.
Apabila hari semakin menghampiri senja, ramai penjual Gypsy mula menebarkan kain alas barang jualan mereka. Ada bermacam barang dijual. Rantai tangan manik, pisau, jam dan pelbagai lagi.
Dari jauh, kelihatan Al-Hambra nun di seberang sana, telah dilimpahi cahaya lampu. Apabila hari semakin gelap, Al-Hambra menjadi lebih merah di bawah remang cahaya matahari terbenam. Sangat cantik!
Kami berada di sini dalam dua jam. Setelah pasti maghrib telah berlalu pergi, kami mula menapak turun. Nasib baik perhentian bas hanya di bawah kaki bukit ini. Sejak dari pagi terasa panasnya cuaca, bila dah malam baru terasa sejuk. Malahan, teramat sejuk. Cepat la bas...
Turun dari bas, kami menapak pulang ke hotel. Tapi perut sangat lapar laaa...Jom makan dulu. Badan sudah terlalu penat untuk menapak ke restoran lebih jauh. Jumpa aje restoran Cina, kami tawakal aje lah masuk.
Pergghh, sampai lapan siri catatan perjalanan kami dari pagi sampai ke malam hari. Itu pun tidak puas kerana banyak tempat yang kami tidak sempat nak cover. Contohnya, rumah orang Gypsy yang terletak di Sacromonte. Uniknya rumah mereka ini kerana terletak dalam gua.
Perkataan Gypsy baik dalam bahasa Inggeris mahupun Spanish "gitano", berasal dari perkataan Mesir "Egypt" di mana orang Eropah menyimpulkan kaum ini berasal dari sana.
Masjid Granada antara yang kami tidak sempat lawati atau dalam erti kata lain tak jumpa. Rupanya hanya disebelah Church St Nicholas di tempat kami tengok Al-Hambra sewaktu matahari terbenam.
Paling tidak puas hati sebab tak sempat beli satu pun cenderahati Granada. huhu...
Esok, kami akan meninggalkan bumi Sepanyol yang penuh dengan kisah perjuangan, kekayaan dan keindahan senibina Islam. Semuanya telah menjadi sejarah.
Comments
Post a Comment
Ingatlah...Setiap Perkataan Diadili Kelak