Switzerland@Trümmelbach_Mei, 19, 2012
Turun dari train, jam telahpun menghampiri ke pukul 2.30 petang. Melalui pembacaan di internet, dikatakan ada perkhidmatan bas yang membawa pelancong ke air terjun Trümmelbach. Di mana air terjun ini?
Kalau tak tahu di mana, baca la entri ini dulu.
Tercari-cari arah mana patut kami tuju untuk menunggu bas yang dikatakan tersebut. Langkah di halakan mengikut haluan orang ramai. Dalam 10 minit berjalan, akhirnya nampak bas yang sedang mengambil penumpang yang kebanyakannya pelancong seperti kami. Berlari lagi kami sebab takut ditinggalkan.
Melalui pemandu bas tersebut, kami dimaklumkan perkhidmatan bas dari Trümmelbach akan berakhir pada pukul 5 petang (kalau tak silap). Kami ada masa lebih kurang 1 jam lebih untuk menghabiskan sesi lawatan di air terjun tersebut.
Sampai sahaja di kawasan ini, sekali lagi rasa kagum mengisi emosi kami. Kalau tadi, sepanjang perjalanan ke Jungfraujoch, kami melihat pemandangan lembah gunung, sekarang di sini kami berada. Di kanan dan kiri adalah gunung. Kawasan ini digelar Lauterbrunnen Valley yang juga dikenali sebagai lembah bagi 72 air terjun.
Dari hentian bas, kami melalui padang rumput yang menghijau di sebelah kiri dan sungai yang mengalir di sebelah kanan. Sayangnya, kawasan di sepanjang sungai ini telah dipagar. Tak bolehlah kami nak menghampiri hingga ke gigi air yang sangat jernih.
Kalau tengok dari luar memang tak nampak air terjun pun. Ianya terletak di dalam gunung. Hanya nampak anak tangga yang melengkor-lengkor. Alamak, kami perlu mendaki lagi ke? Tinggi pulak tu..
Nasib baik, ada disediakan lif (berdengung sungguh telinga ketika berada didalamnya). Walaupun seram menaiki lif di dalam terowong yang gelap, jimat tenaga punya pasal, redah sahajalah.
Lift ini berhenti di chutes (maaf, tak tahu nak terjemah perkataan ini dalam bahasa melayu) antara 5 dan 6. Air yang mencurah-curah keluar dari atas menghasilkan bunyi yang sangat kuat. Bila nak bercakap seakan menjerit rasanya kerana nak melawan bunyi derasnya air.
Dari sini, dengan mendaki tangga, kami terus naik ke atas sehingga ke chutes ke-10 di mana ini adalah chutes terakhir. Tangga sangat licin dengan air yang sentiasa menitis dari celah batu. Nak ambil gambar pun agak terbatas sebab takut kamera terkena air. Tambah lagi suasana gelap di dalam gua ini. Rasanya, sangat tidak sesuai untuk membawa anak kecil atau warga emas.
Untuk pengetahuan anda, air terjun yang terletak di dalam gunung ini terhasil dari glacier yang mencair dari atas puncak gunung Eiger, Mönch dan Jungrau ke lembah ini. Dikatakan, glacier yang mencair menghasilkan sehingga 20,000 liter air sesaat. Tidak hairanlah bunyi air yang mencurah-curah turun umpama bunyi ribut.
Dari tingkat atas, kami turun dari satu chutes ke chutes di bawahnya. Bila tengok air yang terjun mencurah-curah tu, asyik pula rasa. Bila berada di chutes bawah sekali, cuba renung ke kawasan sekitarnya. Sangat asyik pemandangan di lembah ini. Rumput yang menghijau dengan penempatan di sekitarnya yang dilatari dengan air terjun di mana-mana, memang sangat indah.
Nampak sungai yang mengalir, ingatkan boleh menikmati makan tengahari di tepinya. Sayang sekali, kawasan ini memang dipagari. Dengan langkah yang semakin longlai (terlalu penat + tak makan), kami cuba cari kawasan sesuai untuk makan.
Tiada pilihan, akhirnya kami lepak di bawah pokok berhampiran cafe yang terletak berhampiran hentian bas tadi. Selesai makan, terus berjalan ke tempat menunggu bas. Ramai juga pelancong yang sedang menunggu bas terakhir ini.
10 minit selepas itu, kami sampai semula di Lauterbrunnen station. Nampk aje train ke Interlaken Ost, berlari lagi kami.
Untuk pengetahuan anda, air terjun yang terletak di dalam gunung ini terhasil dari glacier yang mencair dari atas puncak gunung Eiger, Mönch dan Jungrau ke lembah ini. Dikatakan, glacier yang mencair menghasilkan sehingga 20,000 liter air sesaat. Tidak hairanlah bunyi air yang mencurah-curah turun umpama bunyi ribut.
Seterusnya....entri terakhir di Switzerland...
Comments
Post a Comment
Ingatlah...Setiap Perkataan Diadili Kelak