July, 22, 2011_Prague@Czech (Part 2)
Apa la yang menariknya jambatan ni kan? Sampaikan disenaraikan sebagai salah satu tarikan bagi pelancong. Bukan ada apa pun. Ala, macam jambatan yang ada kat Malaysia ni lah pun kan.
Menariknya, mortar jambatan ini dikatakan dibina hasil dari campuran telur, susu dan wine. Analisis kimia turut membuktikan bahawa wujudnya protein di dalam mortar tersebut.
Dibina pada tahun 1357 atas arahan King Charles IV dan siap di awal abad ke-15. Dataran Old Town dan Lesser Town yang dipisahkan oleh Sungai Vltava dihubungkan oleh jambatan ini. Semasa awal-awal pembinaannya, ia digelar Karlův Most sehinggalah ditukar nama kepada Charles Bridge pada tahun 1870.
Sebenarnya, Charles Bridge ni bukan lah jambatan pertama yang dibina merentangi Sungai tersebut. Pada tahun 1172, ketika era pemerintahan King Vladislav I, sebuah jambatan yang diberi nama Judith Bridge telah dibina. Tapi jambatan tu runtuh pada tahun 1342 akibat banjir.
Jambatan untuk kegunaan pejalan kaki ini berukuran 516 meter panjang dan hampir 10 meter lebar ini serta disokong oleh 16 tiang memang sesak dengan kehadiran pelancong. Tidak ketinggalan juga, peniaga, pelukis dan pelbagai aktiviti perniagaan berlangsung di atas jambatan ini. Di sepanjang jambatan ini terdapat 30 patung yang di susun di kiri dan kanan jambatan.
Kami berjalan hingga ke Lesser Town untuk mencari Prague Castle yang kami nampak dari Old Town tadi. Sangat cantik. Kaki dah teramat letih sebenarnya. Tapi kami tiada pilihan lain melainkan menapak kawasan berbukit untuk sampai ke tempat dituju.
Nama lain bagi Lesser Town ini ialah Small Quarter atau Malá Strana. Bandar atau lebih sesuai dipanggil pekan ini memang cantik. Banyak bangunan lama dan deretan kedai yang kelihatan telah berpuluh tahun berada di situ. Malah, ada yang berusia lebih 200 tahun. Umpamanya Radetsky Cafe yang telah bertapak sejak tahun 1794.
Langkah kami semakin jauh walaupun hari semakin petang. Sudah menghampiri ke pukul 7 malam. Sepatutnya di musim panas seperti ini, waktu ini masih cerah. Tapi, disebabkan oleh cuaca yang tidak berapa "ceria" hari ini, semuanya nampak mendung dan malap.
Sampai akhirnya kami di bawah kaki bukit di mana istana Prague tersergam. Bila direnung-renung tangga yang sangat tinggi ini, rasa macam cukuplah sampai sini sahaja. Tapi, bila dikenang susah payahnya kami berjalan dari Old Town tadi hingga sampai ke peringkat ini, semangat datang kembali.
Sejumlah 209 mata tangga berjaya juga kami daki. Sekitar istana ini tidak ramai pelancong dah. Mungkin sebab sudah hampir malam. Dari atas ini, hampir keseluruhan pemandangan bandar Prague boleh dinikmati dengan lebih luas. Cantik, sejuk dan amat mendamaikan.
Kebetulan, ketika kami sampai, acara pertukaran guard sedang berlangsung.
Luasnya kawasan istana ini. Ingatkan Palace of Versailles yang kami pergi kat Perancis hari tu istana paling besar la tu, rupanya tak. Prague Castle atau Pražský hrad ni mendapat pengiktirafan sebagai istana lama terbesar di dunia. Ianya di bina atas kawasan seluas hampir 70,000 meter persegi.
Prague Castle merupakan istana di mana Kings of Bohemia, Holy Roman Emperors dan presiden Czech serta Republik Czech menempatkan pejabat mereka di sini. Mahkota bertahtakan permata Czech turut disimpan di sini.
Kompleks ini terdiri daripada tiga courtyards dan beberapa bangunan besar yang lain. Landmark yang paling famous di sini adalah church bernama St. Vitus Cathederal. Selain itu, di sini juga terdapat istana-istana kecil, menara tinjau, muzium, galeri seni, cafe, biara dan Golden Lane.
Dari Hradčanské Square, kami masuk ke courtyards yang pertama. Di kiri dan kanan pintu masuk tersebut tersergam patung manusia sedang melawan gergasi dan di bawahnya berdirinya pengawal istana.
Masuk sahaja ke halaman istana ini, terdapatnya gate atau digelar Matyášova brána (the Mathias Gate) yang dibina pada tahun 1614 oleh arkitek bernama Giovanni Maria Filippi. Ini menjadikan gate ini sebagai bangunan Baroque terawal di Prague. Baroque tu apa?
Masuk sahaja ke halaman istana ini, terdapatnya gate atau digelar Matyášova brána (the Mathias Gate) yang dibina pada tahun 1614 oleh arkitek bernama Giovanni Maria Filippi. Ini menjadikan gate ini sebagai bangunan Baroque terawal di Prague. Baroque tu apa?
Orang yang belajar senireka bangunan mesti tahu kan. Secara ringkas, ianya adalah istilah yang digunakan untuk menggambarkan gaya bangunan era Baroque yang bermula pada akhir abad ke-16.
Di tengah-tengah courtyard yang kedua terdapat sebuah fountain dengan gaya reka Baroque juga. Fountain ini dibina pada tahun 1686. Ianya adalah hasil kerja seni tukang batu Francesco de Torre dan pemahat bernama Jeroným Kohl.
Dari courtyard kedua tadi, kami sampai ke courtyard ketiga. Di sini boleh nampak St. Vitus Cathederal. Courtyard yang ketiga ini mewakili kawasan pusat istana ini. Dahulu kala, kawasan ini digunakan sebagai kawasan pemujaan atau digelar “žiži” dan perkuburan.
Kami berjalan melepasi kawasan gereja hingga sampai ke kawasan diberi nama Golden Lane ( Zlatá Ulička ). Lorong di sini memang kecil, hanya sekitar 1 meter lebar dengan deretan 24 buah rumah kayu di kiri dan kanannya. Rumah-rumah di sini memang kecil dan dicat dengan pelbagai warna pastel.
Dahulunya, rumah ini menjadi tempat tinggal pengawal istana. Sekarang, rumah-rumah ini dijadikan kedai menjual cenderahati dan buku. Malahan, seorang penulis terkenal, Franz Karka, pernah tinggal di sini bersama kakaknya di antara tahun 1916 dan 1917. Seorang lagi penulis yang pernah mendapat anugerah Nobel iaitu Jaroslav Seifert juga tinggal di sini pada tahun 193o-an. Walaubagaimanapun, bangunan rumah tersebut telah dirobohkan.
Kenapa lorong ini dinamakan Golden Lane? Semasa kawasan ini mula dibina pada abad ke-16, ianya dikenali sebagai archery lane. Kemudian, namanya ditukar kepada Golden Lane setelah tukang emas berpindah ke sini pada abad ke-17.
Akhir sekali, kami turun dari kawasan istana ini melalui Staré zámecké schody (The Old Castle Steps) menuju ke stesen metro Malostranská untuk kembali ke Old Town Square.
Comments
Post a Comment
Ingatlah...Setiap Perkataan Diadili Kelak