Cappadocia_Momen@Konak Cave Hotel

Di Konak Cave Hotel ini, kami berkenalan dengan seorang abang yang encem, baik dan peramah. Sebenarnya dia ni bekerja di hotel ini. 


Hahaha...banyak momen kami dengan dia ni yang kadang-kadang buat kami gelak, sesekali buat kami touching dan kadang-kadang rasa macam "ooo soo sweettt"...hahaha

Nama dia Yessir. Maaf, mungkin ejaan tu tak betul. Di antara tiga orang muslim yang kami temui di hotel ini, nampak dia seorang muslim yang lebih taat kepada agamanya.

Bagaimana kami tau? Baca sampai habis iya.

Seperti seorang lagi pekerja di sini yang menyambut kedatangan kami malam sesampainya kami di hotel ini, Yessir juga kurang fasih berbahasa inggeris.

Jadi setiap pagi, semasa kami nak bersarapan, dia akan datang kepada kami sambil membawa handphonenya. Ayat dia "Breakfast. Photo. Facebook" sambil menghalakan kamera handphone ke arah kami.

hahaha...faham la kan. Nak ambil gambar kami dan upload dalam facebook dia. Selama 3 pagi berturut-turut bersarapan di situ, tak pernah miss satu hari pun gambar kami tak dirakam.

Bila ada kesempatan berbual, dia akan menceritakan tentang dirinya. Tentang agama. Tentang kepercayaan dia kepada Allah s.w.t.

Katanya, dia bilal di masjid. Dia suka baca al-Quran.

Satu hari, dia datang ke bilik untuk menghantar baju-baju kami yang sudah siap dibasuh. Ketika itu, kata Qory, dia yang insist sangat nak tolong bawa beg tu. Belum cakap apa-apa lagi, dia dah berlari turun ke bilik kami sambil menjinjing beg baju siap dibasuh.

Kami ni pulak, setiap hari memang buka ayat rukyah dalam bilik. Jadi, bila dia datang dan dengar ayat-ayat Quran dalam bilik, terus dia nampak teruja dan seronok. 

Handphone dalam poket dikeluarkan dan dia mula tunjuk apps Al-Quran. Katanya:

"me, Yassin, doa (sambil menadah tangan) father mother jannah"

Ok. Faham la kami. Ibu bapanya telah meninggal dunia. Jadi, dia selalu membaca Yassin untuk mendoakan ibu bapanya masuk syurga.

Aku pun bagitau, ibu dan ayah aku juga telah meninggal dunia.

Esoknya, kami keluar awal pagi untuk jalan-jalan sekitar bandar Ürgüp.  Tengah meronda tu, kami terserempak dengan dia yang baru balik dari membeli roti untuk dibuat sarapan pelanggan di hotel. 

Terus dia kata, "me, Yassin, doa  (sambil menadah tangan), you (sambil tunjuk ke arah aku), father mother jannah"

Ya!Allah, tak ke rasa touching bila dia cakap macam tu? Dia telah mendoakan untuk mak ayah aku sekali malam semalam. 

Tak cukup dengan itu, ketika Qory berurusan dengan Colleen, owner hotel itu bagitau, "Yessir minta juga saya cakap ni, dia minta saya doakan untuk mak dan ayah awak masuk syurga"

Ok. Nganga lagi untuk kali ke-2.

Itu peristiwa menyentuh perasaan.

Dengar versi yang kelakarnya pula.

Semasa kami bertanyakan tentang perkhidmatan dobi di hotel, dia punya konfiden jawab, tunggu sekejap. Tak sampai 5 minit lepas meletak telefon, dengar derap kasut berlari di luar bilik kami.

Ternganga kami sekejap. Jarak bilik kami dengan ofis tempat dia menjawab telefon tu bukan dekat. Kena turun tangga, keluar pintu utama, masuk pintu utama bangunan sebelah, turun tangga, naik tangga, turun dan naik lagi tangga. 

Punya la dia berlari untuk cepat sampai ke bilik kami.

Sebaik pintu bilik dibuka, dia pun menghulurkan tuala berhelai-helai kepada kami.

Errkkk??? salah paham ni, tapi kami ambil juga la dan ucap teşekkür ederim (thank you).

Selepas dia pergi, kami pun apa lagi. Gelak tak henggat dunia punya. Bukan gelakkan dia, tapi membayangkan makcik cleaner yang esok pagi mesti kehairanan melihat tualanya berhelai-helai hilang. hahahaa...dekat 10 helai tuala dia bawakan kepada kami.

Isu dobi selesai bila pakcik google translate terangkan kepada dia selepas itu :)

Sayang sekali hari terakhir kami di hotel itu, tak sempat mengucapkan selamat tinggal kepada dia. Ketika kami check-out, dia belum masuk bertugas pagi itu.

Tak ada la lagi orang yang akan wish günaydın setiap pagi dan iyi geceler setiap malam kepada kami.




Nanti aku tulis review pasal hotel ni ya. Teruja nak share.


Comments

Popular posts from this blog

About Sweden...

#4. Projek Mengecat

Tak ada "ong"