04 July 2010_Jejak Al-Hambra (Part 6) @ Nasrid Palace

Okey, jom beratur. Dah nak sampai masa untuk masuk ke Nasrid Palace atau Palacios Nazaries. Orang ramai juga. Pak cik dan mak cik yang kami sangkakan orang Indonesia tadi tu, sebenarnya orang Malaysia (Baca sini). Kami bersapa jua akhirnya. Asal dari Johor, datang ke Moscow sempena majlis konvokesyen anak perempuan mereka. Habis majlis tu, terus round ke beberapa buah negara Europe sebelum kembali ke Malaysia. Ye la, dah alang-alang pergi luar negara, lebih elok round beberapa negara sekaligus. Cara tu lebih menjimatkan sebenarnya.




"The highlight of your visit to the Al-Hambra Palace will be the time you spend in the Nasrid Palaces."


Apa istimewanya istana ini? Jangan lupa baca sampai habis entry ini okey.


Seperti yang dah aku ceritakan dalam entry ini, Sultan Mohammed I adalah pemerintah muslim pertama di sini, namun tiada rekod menunjukkan baginda telah membina istana baru di Al-Hambra ini sehinggalah era pemerintahan Abu I-Walid Ismail (raja ke-5 dari dinasti Nasrid). Sebuah istana telah dibina berhampiran the Great Mosque, namun seiring dengan pertukaran tampuk pemerintahan, istana yang dibina ini juga melalui beberapa perubahan dan penambahbaikan. Sultan terakhir yang menyambung kerja-kerja penambahbaikan istana ini ialah Mohammed V.

Rupa asal istana ini juga telah melalui perubahan sekali lagi setelah Kristian Monarki mengambil alih Al-Hambra. Buktinya, banyak ukiran dan hiasan di dalam istana ini telah bercampur dengan ciri-ciri Kristian.

Gate untuk masuk ke ruangan pertama


Dari pintu masuk utama tadi, kami bertemu dengan ruangan Mexuar. Perkataan Mexuar itu berasal dari istilah bahasa Arab Maswar. Di ruangan inilah majlis "sura" atau Council of Ministers diadakan. Ruangan ini juga dijadikan bilik menunggu ketika sultan menyampaikan keadilan.

Motto kristian yang dicat di dinding berbunyi PLUS ULTRA (the battle cry of the conquistadors)


Ruangan ini ada dua tingkat. Tingkat atas dikatakan sebagai tempat sultan melihat apa yang sedang berlangsung di tingkat bawahnya tanpa memperlihatkan fizikal baginda.


Di dalam ruangan yang sama ini juga ditempatkan surau atau dikenali sebagai Oratory. Untuk pengetahuan anda, di sini hanya diletakkan papan tanda nama ruangan sahaja tanpa ada sedikitpun keterangan ringkas berkenaan ruangan tersebut. Anda perlu menyewa audio guide sekiranya ingin tahu lebih mendalam kisah dan sejarah ruangan tersebut.

Pada mulanya tadi, kami juga tidak tahu Oratory ini adalah surau. Nasib baik, pak cik dari Malaysia yang kami temui di luar tadi menyewa audio guide, jadi beliaulah yang telah memberikan informasi ini kepada kami. Terima kasih pak cik.

Mihrab (bahagian masjid/surau yang menganjur ke kiblat)


Pelawat tidak dibenarkan masuk ke dalam surau ini dan hanya boleh melihatnya dari pintu. Umpama langsir broked, deretan tiang di dalam surau ini menjadi bingkai pemandangan Albaicin. Sungguh cantik.



Jom tengok dekorasi yang sungguh cantik dalam Mexuar ini.


Sebagaimana yang kami temui di Generalife, di sini juga penuh dengan tulisan kaligrafi Arab dengan gaya kursif (tulisan yang huruf-hurufnya berangkai/bersambung antara satu sama lain) dan kufik (mempunyai bentuk tulisan yang statik dan bersudut). Antara tulisan yang sentiasa ditulis berulang-ulang di setiap sudut dinding adalah "wa la ghalibu illallah" yang bermaksud "tidak ada pemenang/kejayaaan selain Allah".


Capital restored in 1995. Original polychromed style.


Langkan kayu (wooden balustrade)


Jangan lupa untuk mendongak kepala anda ketika berada di sini. Selain hasil seni tulisan kaligrafi di dinding, anda juga pasti kagum dengan dekorasi di silingnya.



Melalui pintu kecil yang berbentuk ladam kuda, kami sampai ke sebuah halaman kecil. Halaman yang digelar sebagai Patio of the Gilded Room ini terdapat air pancut di tengah-tengahnya. Air pancut yang dibina pada tahun 1943 ini ditiru daripada original piece yang ada di Daraxa's Gardens (Jardines de Daraxa). Taman ini akan aku ceritakan kemudian.



Sisi Utara halaman tadi mengarah ke Gilded Room (Cuarto Dorado) atau Golden Room sementara sisi Selatan adalah bangunan Comares Palace (Cuarto o Palacio de Comares).


Tiga perkara tentang senibina dan hiasan yang aku perasan sepanjang berada di Al-Hambra. Pertama, kebanyakan pintu dan tingkap di istana atau patio di sini, berbentuk lengkungan atau ladam kuda. Kedua, dinding kebanyakan ruang dihiasi dengan ukiran kaligrafi Arab. Ketiga, ukiran berbentuk Mocárabe (stalaktit) dan latticework (criss-crossed pattern) sama ada di pintu gerbang atau di langit-langitnya. Sangat indah, contohnya ukiran berbentuk stalaktit ini yang bila aku renung lama-lama, ianya berbentuk seakan sarang lebah. Adakah imaginasi aku terlebih sudah? huhu

Begitu juga dengan Golden Room yang ada di hadapan aku sekarang ini. Bilik yang dibina atas arahan Mohammed V ini mendapat namanya kerana lukisan gaya Mudejar yang dicat pada siling coffered nya. Di pintu masuk terdapat serambi dengan tiga lengkungan (gerbang) di atas tiang berjunjung marmar dari abad ke-12.




Di sebelah kiri, terdapat sebuah lengkungan kecil yang bersambung ke ruangan Mexuar (pintu kecil yang kami lalui dari Mexuar tadi). Manakala, terdapat dua lagi pintu gerbang kecil masing-masing terletak di kiri dan kanan sebuah pintu gerbang besar yang terletak kebelakang sedikit dari pintu kecil tadi. Pintu gerbang yang ditengah-tengah inilah yang mengarah ke sebuah bilik kecil yang berbumbungkan siling coffered yang dilukis dengan lukisan Gothic, lambang dari Katolik Monarki.



Menurut sejarah, bilik ini digunakan oleh pegawai dan setiausaha Mahkamah Islam untuk menulis dan melaksanakan perintah sultan. Asalnya, di bawah bilik ini terdapat jalan yang digunakan oleh pengawal keselamatan istana. Namun, jalan tersebut tidak kelihatan lagi berikutan perubahan yang berlaku pada istana ini.



Seperti yang aku katakan tadi, selatan patio tadi adalah Comares Palace yang merupakan kediaman rasmi raja. Istana ini mempunyai beberapa buah bilik yang mengelilingi Court of the Myrtles (Patio de los Arrayanes). Setiap bilik ini pula mempunyai galeri dengan anjung serambi di hujungnya. Contohnya, Hall of the Boat (Sala de la Barca) yang terletak di sebelah utara dan Hall of the Ambassadors (Salón de los Embajadores) terletak di dalam Comares Tower (Torre de Comares) di mana pemandangan lembah Sungai Darro boleh dinikmati.


Pada bangunan ini, terdapat dua gate yang serupa, dengan lintel (wikipedia : defined as a horizontal block that spans the space between two supports in classical western architecture), ubin yang dipasang pada papan kambi (bingkai pintu) dan dekorasi plasterwork. Di atas gate ini pula, terdapat dua tingkap berkembar dan sebuah tingkap kecil di tengah-tengahnya. Sama seperti di dinding ruangan lain, tingkap-tingkap ini dikelilingi oleh inskripsi "wa la ghalibu illallah" ("tidak ada pemenang/kejayaaan selain Allah".)




Di sebelah kiri façade ini mengarah ke dewan yang dihiasi plasterwork dengan ukiran berbentuk stalaktit dan siling yang dicat semasa pemerintahan Monarki Katolik dengan inskripsi yang merujuk kepada pengambil alihan bandar Granada. Manakala, di sebelah kanan menghala ke bilik peribadi sultan.





Court of the Myrtles (Patio de los Arrayanes), bukanlah nama asal patio ini. Namanya telah mengalami perubahan dari masa ke semasa. Nama yang digunakan sekarang diberi kerana pokok-pokok myrtle yang hidup mengelilingi kolam di tengah-tengah patio ini. Warna hijau tumbuhan ini memberikan perbezaan yang ketara dengan warna putih batu-batu marmar patio. Gelaran lain bagi patio ini adalah Patio of the Pond atau the Reservoir (Patio del Estanque o de la Alberca) sempena kewujudan kolam berukuran 34m panjang dan 7.10m lebar ditengah-tengahnya.







Kedua-dua sisi timur dan barat patio ini terdapat bangunan dua tingkat dan mengarah ke bilik-bilik yang lebih kecil.


Manakala, sisi selatan mempunyai bangunan tiga tingkat. Aras paling bawah mempunyai tiga lengkungan, di mana lengkungan tengah lebih tinggi berbanding tiga lengkungan di kiri dan kanannya. Aras dua digunakan oleh wanita untuk menonton acara yang diadakan di taman. Aras paling atas dipagari oleh bilik yang memanjang.


Galeri utara merupakan pintu masuk menuju ke Comares Tower. Melalui sebuah pintu gerbang besar yang ukirannya berbentuk stalaktit, kami masuk ke Hall of the Boat (Sala de la Barca) diikuti oleh Hall of the Ambassadors (Salón de los Embajadores).


Hall of the Boat (Sala de la Barca), asal namanya dari perkataan Arab, "barakah" yang bermaksud berkat. Perkataan ini akhirnya menjadi perkataan bahasa Sepanyol "barca" yang bererti bot atau perahu. Siling kayu di dalam dewan ini berbentuk seolah-olah perahu terbalik.


Menara Comares (Torre de Comares) yang berketinggian 45 meter, merupakan menara tertinggi di Al-Hambra. Nama menara ini diperoleh kerana stained glass window di balkoni yang menerangkan dewan di dalamnya yang dipanggil comarías. Pada empat permukaan dindingnya, terdapat beberapa buah tingkap dengan gargoyle (a carved stone grotesque with a spout designed to convey water from a roof and away from the side of a building) dan dikelilingi oleh merlons (merlon tu macam pagar yang atasnya ada pelbagai bentuk dan biasanya tajam seperti lembing. Selalu boleh dilihat pada kubu atau benteng pertahanan).


Hall of the Ambassadors (Salón de los Embajadores) merupakan dewan di mana terletaknya singgahsana kerajaan dan acara-acara rasmi juga berlangsung di sini. Entah macam mana, tak ada pula gambar dewan ini dalam kamera kami. Terpaksa la gunakan gambar ihsan dari alhambradegranada.org dan vivagranada.com.


Dikatakan juga, berlakunya peristiwa penyerahan kota Granada oleh Sultan Abu Abdullah Muhammad XII kepada Raja Katolik di dalam menara ini. Menurut cerita tersebut, ketika bonda sultan mengetahui baginda sedang berunding untuk penyerahan kota ini kepada orang-orang Kristian, sambil memandang keluar dari salah sebuah tingkap menara ini, beliau telah berkata kepada anakandanya "Lihatlah apa yang telah engkau serahkan dan ingat bahawa semua nenek moyangmu meninggal ketika menjadi raja Granada dan kerajaan ini hancur di tanganmu".


Menurut lagenda juga, di sini turut berlaku peristiwa Christopher Columbus (baca dalam entry ini) menyakinkan Raja Katolik untuk memberikan persetujuan untuknya melakukan expedisi pelayaran yang akhirnya menemukan America pada 12 October 1492. Rancangan beliau mendapat tajaan dari Ratu yang menawarkan barangan kemas untuk merealisasikan hasrat tersebut.

Satu lagi binaan tercantik di sini adalah Palace of the Lions (Leones Palace). Mula-mula sekali, kami menemui Hall of the Muqarnas/Hall of the Mocárabes (Sala de Mocárabes), yang digunakan sebagai dewan atau ruang depan kerana kedudukannya yang paling hampir dengan pintu utama istana.








Untuk masuk ke dewan ini, kami melalui tiga lengkungan stalaktit.




Di tengah-tengah ruangan istana ini berdirinya Court of the Lions (Patio de los Leones) yang juga dibina oleh Muhammed V. Daya tarikan utama patio ini satu ketika dahulu adalah air pancut berupa 12 ekor singa. Tetapi malangnya, hari ini, kesemua singa ini telah tiada lagi di sini. Kononnya untuk proses pembaikpulihan tempat ini. Ada juga yang kata, singa-singa ini dialihkan kerana ketaksuban pengkaji barat untuk mengkaji sistem air pancut ini. Sedihnya, kini hanya tinggal fountain's base yang dikelilingi kotak besar.

Court of the Lions - Dahulu


Court of the Lions - Sekarang



Satu dari dua kediaman yang mengelilingi Court of the Lions adalah bilik yang terletak di hujung selatan iaitu Hall of the Abencerrages (juga disebut Abi Siraj). Ingat lagi tak kisah mengenai Abencerrages? (Baca di sini) Nama bilik ini diberi sempena peristiwa keluarga beliau (African-Utara) yang diundang untuk jamuan di sini dan akhirnya sekeluarga ini dibunuh. Oh! Sadisnya....





Langkah kami seterusnya melalui The Emperor's Chambers atau juga dikenali sebagai King Charles V's Chambers. Bilik ini dibina atas arahan King Charles V ketika penaklukan Kristian ke atas Granada. Raja ini dan isterinya yang tiba di Alhambra pada bulan Jun 1526, sangat kagum akan keindahan tempat ini lalu memutuskan untuk membina markas mereka di sana.

Dengan demikian, pada tahun 1528, terbinalah enam "bilik baru" yang terdiri daripada "emperial suite" di atas tanah Muslim yang mewah, dengan koridor yang menghala ke bilik. Sejak itu, Bath of Comares (Baño de Comares) di sebelah kirinya telah ditukar menjadi pintu masuk.

Fireplace


Di belakang koridor tersebut terletaknya pejabat raja dengan cerobong asap dan siling coffered yang direka oleh Pedro Machuca pada tahun 1532.

Siling coffered


Plak batu sebagai penghormatan kepada Washington Irving, penulis America yang menghasilkan buku The Tales of Alhambra


Salah satu tingkap yang ada di sini





Bangunan sebelah kanan tu adalah The Queen's Robing Room (Peinador de la Reina)


Kisah Nasrid Palace ini belum berakhir. Entry seterusnya, aku akan sambung dengan cerita tentang tamannya pula.


Comments

Post a Comment

Ingatlah...Setiap Perkataan Diadili Kelak

Popular posts from this blog

About Sweden...

#4. Projek Mengecat

Tak ada "ong"