July 10, 2009_Netherlands @ Amsterdam
Sekembalinya dari Paris, kami hanya sempat berehat satu hari di rumah sebelum meneruskan percutian ke Amsterdam. Satu hari rehat tersebut digunakan untuk membasuh pakaian sebenarnya. Mujurnya di sini, pakaian yang dibasuh boleh terus dikeringkan tanpa perlu dijemur. Dulu, masa mula-mula datang ke sini, rasa macam "tak best" pakai baju yang tidak dikeringkan dibawah panahan cahaya matahari. Sekarang, dah masuk tiga kali pergi ke negara asing, dah dapat membiasakan diri.
Kami akan menaiki kapal terbang tambang murah, RyanAir ke Amsterdam. Kapal terbang ni macam Air Asia la. Seperti juga di Malaysia di mana penerbangan tambang murah kena naik di Low Cost Carrier Terminal (LCCT), di Sweden ini juga sama. Lapangan terbang Skavsta ini agak jauh dari bandar Stockholm. Kena naik beberapa kenderaan awam untuk sampai ke sini. Jadi, kena la bertolak dari rumah awal pagi.
RyanAir ini mendarat di Eindhoven Airport yang terletak hanya 7km dari barat pusat bandar Eindhoven.
Ketika turun dari kapal terbang, aku berjalan agak ke belakang dari Qory. Sebaik sahaja sampai di pintu masuk terminal, tidak semena-mena aku diminta menunjukkan passport oleh seorang pegawai imigresen yang bertugas. Dalam ramai-ramai orang yang melalui pintu masuk itu, hanya aku diminta untuk menunjukkan passport.
Gabranya aku sebab passport ada pada Qory. Masa nak boarding tadi, aku minta dia tolong pegangkan sebab susah nak buka beg sandang aku. Tak sangka pula, kami boleh terpisah sebaik turun dari flight. Salah aku la sebab leka melilau sana sini sampai tak perasan dia dah jauh ke depan. Lebih menambahkan panik, sebab kelibatnya sudah tidak kelihatan. Jenuh aku memanjangkan leher mencarinya. Pun tak nampak. Puas sudah menerangkan pada mak cik imigresen ni, passport aku dipegang oleh kawan. Riak muka dia macam tak percaya pada keterangan aku. Ke, aku bercakap bahasa Melayu dengan dia tadi?
Aku minta dia tunggu sebentar sementara aku call Qory. Sudah la handphone pun belum on dan belum tentu line ok di sini. Alhamdulillah, baru aje aku nak call, Qory muncul. Nasib baik dia perasan aku tak ada di belakangnya, sebab tu dia berpatah balik. Lepas yakin aku datang secara "halal", barulah mak cik tu benarkan kami pergi.
Kata Qory, semasa dia lalu sebelum aku tadi, tak ada pun si imigresen ni minta dia tunjukkan passport. Begitu juga penumpang lain yang satu flight dengan kami. Cuma aku yang menjadi mangsa pemeriksaan rawak mereka. Muka aku ni macam terrorist ke?
Moralnya, kalau anda pergi berjalan di luar negara, pastikan passport sentiasa bersama anda.
Dari sini, kami perlu menaiki bas 401 ke Eindhoven Central Station. Jauh juga jarak antara airport dan stesen keretapi. Dari stesen keretapi Eindhoven kami turun di Amsterdam Central Station.
Kami menginap di hotel Damrak Inn yang terletak di antara central station dan Dam Square yang famous itu. Dari central station ke hotel hanya berjalan kaki. Sepanjang perjalanan ke hotel, kami agak terperanjat dengan lambakan sampah merata-rata tempat. Nampak kotor dan mencacatkan pemandangan. Bersih lagi Kuala Lumpur kalau nak dibandingkan. Cuma, Kuala Lumpur kalah bila bab kebersihan tandas awam. Orang punya la ramai. Tak dapat nak beza samada orang tempatan atau pelancong sebab nampak serupa aje orang Eropah ni. Cuma kami aje la yang berbezanya.
Mungkin suasana kotor begini terjadi pada musim panas di mana ramai sangat pelancong bertumpu ke sini. Entahlah...
Sebaik sahaja sampai di hadapan bangunan hotel, sekali lagi kami terkejut. Hotel ini tidak mempunyai lift. Untuk pergi ke receptionist, perlu mendaki tangga yang sangat kecil, sempit dan curam. Tidak terbayang oleh kami begini keadaan hotel ini. Kami tempah hotel ini sehari sebelum datang ke mari. Memang lah mahal harganya.
Dari tempat receptionist tadi, kami perlu naik lagi tiga tingkat. Sakit tangan usah ceritalah. Bawa beg beroda yang maha berat. Beg sandang lagi. Menggeletar satu badan.
Bilik kami dapat ini tak ubah macam loteng. Ada dua katil single. Bising sebab menghadap ke kawasan yang sentiasa happening. Apa yang dipaparkan dalam internet langsung tidak sama dengan bilik kami dapat ini. Nasib la, siapa suruh booking last minute kan?
Oleh kerana tak ada kemudahan cerek mahupun gelas, kami perlu beli air mineral. Nasib baik ada kedai di tingkat bawah hotel. Harganya, memang la mahal. Sampaikan si penjual tu tanya dua kali bila aku kata nak air mineral botol besar.
Selepas solat dan mengisi perut dengan bekalan yang dibawa dari rumah, kami memulakan aktiviti seperti yang dah dirancang. Hari ini, kami hanya akan pergi tempat yang wajib pergi iaitu Hard Rock Cafe.
Maka, berpandukan peta dan GPS, berjalan kakilah kami (nak jimat punya pasal). Ingat dekat, rupanya macam berjalan dari selatan ke utara. Selepas puas masuk jalan tu, keluar jalan ni, akhirnya dari jauh nampak la tempat yang dicari.
Semasa nak ambil gambar di restoran bot yang ada di hadapan Hard Rock Cafe ini, ada seorang pelayan restoran tu sibuk nak bergambar sekali dengan kami. Padahal masa tu, perempuan yang tolong ambilkan gambar kami tu bagi isyarat suruh dia ketepi. Mungkin dia faham sebaliknya kot...hihi..
Selepas membeli sehelai seorang t-shirt, kami berpatah balik ke hotel. Kali ini melalui jalan lain pula. Alhamdulillah, walaupun telah gelap, orang masih ramai di sana sini. Kawasan hotel yang dipanggil Damrak itu pun macam tidak tidur pun penghuninya sebab sentiasa bising.
Esok, jelajah Amsterdam akan bermula...
Best!
ReplyDeleteNak pegi lagi. Tengok ladang tulip!
ReplyDelete