July 11, 2009_Netherlands @ Amsterdam (Part I)

Pagi ini, cuaca lebih sejuk. Mandi pun menggigil satu badan walaupun ada heater. Lepas bersiap, kami turun dari bilik hotel untuk mencari tempat bersarapan. Tak jauh dari hotel ini, ada sebuah restoran Arab.


Meneliti menunya, pilihan yang ada adalah jenis roti-roti sahaja. Kalaulah ada nasi lemak ke, mee goreng ke, kan ke best. Di dalam salah satu menu tu, ada bacon sandwich. Bila Qory minta tukar bacon tu kepada telur, si Arab ni boleh cakap "it's ok, bacon is halal..". Huissshhh, pak Arab ni...bila Qory bertegas tak nak dan order menu lain, dia macam tak puas hati. Selesai mengambil order kami, dia masuk dan sempat mengumpat pasal kami dengan seorang lagi kawannya. Walaupun tak faham apa mereka bualkan, tapi dari body language dan intonasi suaranya memang jelas dan terang, tengah mengata pasal kami.

Ini adalah falafel iaitu sejenis makanan tradisi masyarakat Middle East


Selesai bersarapan, kami memulakan perjalanan berpandukan peta di tangan. Target kami hanya akan berjalan kaki sepanjang lawatan ini. Pertama, sebab nampak macam tempat-tempat yang kami nak pergi nanti, tidak berapa jauh kedudukannya dari hotel. Kedua, banyak yang kami boleh jimat jika berjalan kaki.

Bertentangan dengan Hotel Damrak Inn ini adalah bangunan Beurs Van Berlage iaitu tempat kebanyakan persidangan diadakan. Diawal pembinaan di antara tahun 1896 dan 1903 oleh arkitek Hendrik Petrus Berlage, bangunan ini digunakan sebagai tempat pertukaran komoditi (Bursam saham). Posing sini jap...


Selesai posing lebih kurang, kami berjalan menuju ke Dam Square yang terletak tidak sampai 5 minit berjalan kaki dari hotel. Tempat ini memang sesak dengan pelbagai jenis manusia dari siang sampai lah ke malam. Di sini juga ada street performer yang memaparkan pelbagai watak.



Square ini dibina pada abad ke-13 ketika sebuah empangan dibina di sekitar Sungai Amstel untuk mengalirkan air dari laut Zuiderzee. Apa yang boleh dilawati di sekitar square ini?


Di sini terletaknya Royal Palace (Koninklijk Palace), tugu National Memorial, New Church (Nieuwe Kerk) dan Madame Tussauds. Kami tak masuk pun dalam Royal Palace tu. Madame Tussauds pula, kalau sempat balik nanti kami masuk. Kat sini juga ada pasar pagi yang menjual pelbagai jenis barangan antik dan buku-buku lama.




Dari Dam Square tadi, kami berjalan dari satu lorong ke satu lorong antara bangunan. Destinasi dituju adalah flea market. Bandar ini sangat cantik sebab banyak terusan boleh dilihat. Walaupun berjalan jauh, tidak terasa penat dek kerana leka melihat persekitaran.


Flea market ini pun terletak berhampiran sungai. Pelbagai jenis barang dijual. Mata kami tertumpu kepada cannabis yang dijual secara terbuka di sini. Sepanjang jalan tadi pun kami temui banyak kedai Coffeeshops yang sebenarnya tempat untuk menikmati cannabis. Di pasar ini pula, pelbagai produk cannabis yang dihasilkan. Ada yang dijual dalam bentuk daun, lolipop dan sedut macam cerut tu pun ada.





Kalau tak datang kemari, kami tak tahu pun ada negara yang menghalalkan penggunaan cannabis. Siap boleh buka kedai macam restoran lagi tu. Di negara Belanda ini, penjualan cannabis adalah "haram, tetapi tidak dihukum (illegal, but not punishable)". Macam mana pula tu?

Penjualan cannabis tertakluk kepada Peraturan-peraturan Kebangsaan :-

1. Tidak dibenarkan dibuat pengiklanan
2. Tidak boleh jual hard drug
3. Tidak boleh dijual kepada sesiapa yang berumur bawah 18 tahun
4. Tidak boleh dijual melebihi 5 gram
5. Tidak boleh menganggu gugat ketenteraman awam

Selain tempat untuk menikmati dadah secara halal, coffeeshops ini juga menyediakan makanan dan minuman seperti restoran biasa. Tetapi alkohol dilarang sama sekali dijual di sini. Kalau ada pun mungkin secara illegal.


Berbalik kepada cerita flea market tadi, selain dari cannabis yang pertama kali dalam hidup kami tengok secara live, ada pelbagai produk tempatan dan tak kurang juga macam datang dari China. Paling menarik, kasut kayu yang melambangkan identiti negara ini. Ada pelbagai saiz dan warna. Kami hanya mampu jamu mata sahaja sebab harganya boleh tahan mahal.



Pengalaman tak best semasa berada di pasar ini adalah, kena marah oleh seorang pak cik tua yang berniaga barangan besi. Sebab dia nampak kami pegang kamera. Tak bagi kami ambil gambar kedai dia kononnya. Sedangkan sebelum tu, kami ambil bermacam-macam gambar barang termasuk la kedai jual cannabis, tak ada pula owner kedai tu nak sound. Macam-macam perangai la orang putih ni.




Kami berada di sini lebih kurang satu jam sahaja. Perjalanan diteruskan untuk mencari Anne Frank House.







Amsterdam memang sangat cantik. Tak percaya? kena datang sendiri



Anne Frank House adalah sebuah bangunan yang telah dijadikan muzium. Bangunan ini dahulunya dijadikan tempat Anne Frank bersembunyi dari tentera Nazi. Sepanjang tempoh persembunyian dari tentera Nazi, beliau telah menulis sebuah diari tentang pengalaman menjalani "kehidupan rahsia" itu.

Kisah awal Anne yang lahir pada tahun 1929 bermula apabila ibu bapanya, Otto dan Edith Frank lari dari Jerman akibat dari krisis ekonomi setelah Hitler berkuasa. Penghijrahan mereka ke Netherlands dimulai oleh ayahnya, diikuti oleh ibu, kakak dan akhir sekali Anne. Di sini, mereka hidup dengan aman di sebuah tempat bernama Merwedeplein.


Namun, pada tahun 1940, Perang Dunia Ke-2 mula meletus. Jerman mula menyerang Belanda dan bermakna keluarga ini sekali lagi diancam bahaya.

Tahukah anda mengapa mereka diancam bahaya? Jika anda pernah mengikuti Sejarah Dunia, tentera Nazi yang dipimpin oleh Adolf Hitler sebenarnya ingin menghapuskan kaum Yahudi kerana beranggapan Yahudi akan menjahanamkan dunia satu hari nanti. Keluarga Frank ini adalah Jewish atau Yahudi. Seperti yang ditulis oleh Anne di dalam diarinya:

“Because we're Jewish, my father emigrated to Holland in 1933, where he became the Managing Director of the Dutch Opekta Company, which manufactures products used in making jam. My mother, Edith Holländer Frank, went with him to Holland in September, while Margot and I were sent to Aachen, to stay with our grandmother. Margot went to Holland in December, and I followed in February, where I was plunked down on the table as a birthday present for Margot.”

Setelah penguasaan tentera Nazi, hidup mereka sekeluarga semakin susah dengan pelbagai sekatan yang dikenakan ke atas penduduk Belanda. Kemuncak yang memaksa ayahnya mencari tempat persembunyian apabila kakak Anne iaitu Margot dipaksa untuk menyertai kem buruh kasar di Jerman.

Tempat persembunyian tersebut adalah sebuah ruang kosong bangunan pejabat Otto Frank yang terletak di Prinengracht. Bersembunyi bersama keluarga ini adalah Herman dan Auguste van Pels serta anak lelaki mereka dan Fritz Pfeffer. Aktiviti perniagaan berjalan seperti biasa dibahagian hadapan bangunan ini tanpa ada yang mengetahui tempat persembunyian rahsia tiga keluarga tersebut yang digelar "The Secret Annex". Sepanjang persembunyian, mereka dibantu oleh pekerja Otto yang setia.


Ruang tempat persembunyian mereka ini sangat sempit untuk dihuni oleh lapan orang dalam satu masa. Namun, mereka tidak punya pilihan dan tidak pernah keluar dari Secret Annex selama 2 tahun. Selama 2 tahun itulah, Anne hanya mampu meluahkan perasaan, kesakitan dan derita jiwanya di dalam diari yang setia menemaninya sejak sekian lama.

Akibat dikhianti, akhirnya pada 4 Ogos 1944, kesemua penghuni Secret Annex telah ditemui dan ditahan oleh tentera Nazi. Mereka dihantar ke Westerbork transit camp dan kemudiannya keAuschwitz.

Hanya Otto Frank yang berjaya survive di dalam camp tersebut. Hermann van Pels dibunuh di bilik gas, Auguste dicampak dihadapan keretapi barang yang sedang bergerak. Yang lain mati kerana penyakit dan kelesuan. Identiti orang yang mengkhianti mereka ini tidak pernah diketahui.

Anne dan kakaknya Margot dibawa ke Bergen-Belsen. Anne mati di camp tersebut pada bulan Mac 1945 pada usia 15 tahun.

Begitulah serba ringkas sejarah muzium yang kami nak masuk ini nanti. Namun, dari jauh sudah kelihatan barisan panjang, orang sedang membeli tiket. Aduhhh, tak sanggup rasanya nak menunggu lama. Akhirnya, niat untuk melihat sendiri rupa bentuk Secret Annex ini terpaksa dibatalkan. Kami hanya bergambar di hadapan bangunan ini sahaja.

Perut pun dah lama minta diisi. Apa lagi, cari port best untuk melabuhkan punggung dan buka bekal. Syok betul dapat makan tepi sungai ini. Sambil makan, boleh lihat bot lalu lalang. Angin pula bertiup kencang. Memang nyaman sangat.




Selesai makan, kami membuat keputusan untuk berpatah balik ke kawasan Damrak. Jalan kaki lagi sekali? Oh! No way...jauh sangat dah kami berjalan dari hotel sampai ke sini tadi. So, apa alternatif?

Naik tram. Jakun jap nak naik pengangkutan paling efisien di Amsterdam ini. Mula-mula tu tak tahu nak beli tiket kat mana. Tanya orang tempatan mereka kata boleh beli dalam bas atau kat mesin yang disediakan di bus stop ini.

Nak masuk dalam tram pula, ada pintu tertentu sahaja. Pintu yang berpalang tidak dibenarkan masuk. Nak turun dari tram, kena tekan button untuk membuka pintu.


Kaki dah lenguh. Badan dah tak larat. Tapi, banyak lagi tempat tak pergi ni. Kena round bandar ni sebanyak yang mungkin. Jadi, untuk menjimatkan masa, jom naik cruise. Pusing-pusing bandar Amsterdam melalui jalan air.

Tapi itu semua bersambung dalam entry akan datang. Ada tempat lagi happening (khususnya untuk kaum lelaki) kami kunjungi. Apa dia tempat tu? Jeng...jeng...jeng...



Comments

Popular posts from this blog

About Sweden...

#4. Projek Mengecat

Tak ada "ong"