July 7, 2009_Palace of Versailles@Paris

Jom patah balik ke percutian tahun 2009. Kali ini nak kongsi tentang Palace of Versailles yang terletak di daerah bernama Versailles, Perancis. Terletak kira-kira 20km baratdaya Paris, Versailles adalah sebuah bandar yang dikenali sebagai tempat beberapa perjanjian dimeterai. Contohnya, Treaty of Paris (1783) yang mengakhiri Perang Revolusi Amerika dan Treaty of Versailles yang mengakhiri Perang Dunia I.




Sebuah istana yang juga dikenali sebagai Château de Versailles merupakan tempat kediaman Diraja Perancis selama lebih dari satu abad (1682 - 1789). Berada di dalam senarai UNESCO's World Heritage, Versailles merupakan suatu pencapaian paling indah dari seni bina Perancis abad ke-18. Sekarang, istana ini telah dijadikan muzium yang menjadi antara tarikan utama pelancong ke sini.




Dari hotel, kami menaiki bas ke sini. Ketika sampai, punya la ramai umat manusia sedang beratur untuk membeli tiket. Memang agak sesak keadaan ketika itu. Cuaca pula berangin dan sejuk.


Ketika melalui pemeriksaan keselamatan untuk masuk ke dalam istana, seorang kakitangan bertugas yang memang handsome orangya, telah mengingatkan aku supaya berhati-hati dengan beg yang dibawa. Banyak kegiatan menyeluk saku berlaku ketika pelancong sedang bersesak-sesak di dalam istana. Terima kasih abang encem :).

Di dalam istana ini kami menyewa audio guide. Setiap bilik atau ruang akan diterangkan sejarah dan kegunaannya. Istana ini terbahagi kepada beberapa bilik atau bahagian yang kesemua hiasannya sangat mewah aku lihat. Dari lantai, dinding sehingga ke siling yang dilukis dengan pelbagai gambar serta bewarna keemasan, memang terlalu banyak seni yang ingin dirakam. Rasanya, memory card kamera kami yang bersaiz 16GB itu, cepat sahaja penuh.




Macam tak percaya asalnya istana ini adalah dari sebuah pondok memburu yang dibina oleh Louis XIII. Ketika diambil alih oleh anaknya, Louis XIV, Versailles telah diperluas dari segi saiz dan peranannya. Bermula tahun 1661, arkitek bernama Louis Le Vau, André Le Nôtre sebagai arkitek lanskap dan Charles Le Brun sebagai pelukis dan dekorator dipertanggungjawab untuk projek tersebut. Penanaman tree-lined terraces serta ribuan pokok bunga dan pembinaan laluan pejalan kaki dilakukan di atas tanah seluas kira-kira 37,000 ekar. Sebanyak 1,400 buah air pancut dan 400 buah patung menghiasi taman di sini.



Tahun-tahun seterusnya, perluasan istana ini telah direka oleh arkitek yang berbeza dan siap sepenuhnya ketika hujung hayat Louis XIV.


Louis XIV telah memindahkan mahkamah dan kerajaan Perancis ke Versailles pada tahun 1862. Tiga Raja Perancis yang tinggal di sini sehingga Revolusi Perancis telah banyak menambah baik istana untuk menjadikannya lebih cantik.


Versailles terbahagi kepada empat bahagian berlainan iaitu The Palace, The Garden, The Grand Trianon dan Marie-Antoinette's Estate.


Walaubagaimanapun, tidak semua bahagian istana dibuka kepada umum. Banyak bahagian atau bilik yang telah dijadikan pejabat-pejabat kerajaan. Pengunjung hanya boleh melawat bahagian utara dan sayap selatan serta di tengah-tengah istana.


The Hall of Mirrors atau disebut La Grande Galerie dalam bahasa Perancis, merupakan tempat menunggu mahupun pertemuan pegawai istana dan rakyat. Setiap hiasan, patung dan lukisan samada di dinding atau siling, mempunyai kisah tersendiri. Contohnya The War Salon yang mengisahkan kemenangan Perancis yang membawa kepada Treaties of Peace of Nijmegen. Perjanjian yang mengambil nama bandar Nigmegen (tempat perjanjian dimeterai) yang terletak di Netherlands ini menamatkan perang yang saling berkait di antara Perancis, Belanda, Sepanyol, Brandenburg, Sweden, Denmark, the Prince-Bishopric of Münster, dan the Holy Roman Empire.



Kalau dah ada ruangan peperangan, mestilah ada ruangan keamanan pula, ye tak? Ruangan dimaksudkan adalah The Peace Salon.

Ruangan lain yang dibuka kepada pelawat adalah The Congress Room, Museum of French History, The Apartment of the Marquise de Pompadour, Apartments of Marie-Antoinette, Mesdames' Apartments, Apartment of the dauphin and the dauphine, The Royal Chapel, The King's interior apartments, The Queen's Grand Apartment, The King's Chamber dan The King's Grand Apartment.


Seperti yang aku ceritakan di awal tadi, setiap ruangan ini dihiasi dengan pelbagai lukisan dan patung. Warna keemasan menjadikan setiap ruangan atau bilik tampak begitu mewah. Contohnya bilik tidur raja.


Separuh hari telah kami habiskan di istana sahaja. Bila dah keluar dari istana baru perasan, hujan tengah membasahi bumi. Kaki dah lenguh, perut pun dari tadi minta diisi, kami mencari "port" yang sesuai untuk berkelah. Akhirnya, lantai di luar cafe menjadi sasaran kami untuk buka bekal dan makan dalam suasana yang sungguh hingar bingar.

Usai makan tengahari, kami menaiki "bas terbuka" yang disediakan untuk ke The Grand Trianon dan Marie-Antoinette's Estate. Aku dah tak ingat berapa tambang bas ini. Dalam hujan yang masih renyai, kami sampai ke tempat dituju. Sekali lagi mata terpukau dengan saiz, hiasan dan keindahan tempat ini. Semuanya begitu besar dan mewah.

Sesiapa yang mengemari hiasan ala Inggeris, mungkin akan terpesona dengan hiasan dalaman istana ini. Aku paling suka pada tamannya yang jauh lebih besar dari keluasan kampung aku. Raja dan Permaisuri mempunyai istana masing-masing. Kalau dah ada istana, mestilah dengan tamannya sekali kan. Aduhai, pelbagai spesies pokok dan bunga yang ditanam. Terfikir sejenak aku, agak-agaknya, Raja dan Permaisuri tu sempat ke tawaf satu taman yang sangat luas ni?



Untuk hiburan Raja dan Permaisuri juga, dibina sebuah panggung khas untuk mereka menonton teater atau apa jua acara hiburan.


Kami keluar dari kediaman Permaisuri bernama Marie-Antoinette ini ketika tempat ini hampir ditutup. Berlari-lari kami ke tempat bas terakhir yang sedang menunggu. Kalau tertinggal, bagaimana kami nak menapak keluar dari kawasan yang sangat luas ni?


Tanpa disangka-sangka, dalam perjalanan keluar, hujan turun mencurah-curah. Bila bas corner ke kanan, air dari bumbung bas akan mencurah-curah masuk melalui tingkap bas yang tiada cermin. Qory yang duduk di tepi sekali la menjadi mangsa. Kecoh sekejap suasana dalam bas yang mulanya sepi tadi. Hanya kerana peristiwa yang melucukan itu, penumpang bas yang berlainan bangsa dan bahasa ini boleh ketawa kelucuan apabila Qory membuka payung di dalam bas. Walaupun tak faham bahasa masing-masing, namun kami saling mengerti sebab apa kami ketawa.


Lencun dah baju kami. Turun dari bas, berlari-lari kami mencari tempat berteduh di tepi-tepi tiang istana. Hajat untuk meneroka taman berhampiran istana ini tidak kesampaian dek kerana hujan. Dalam kesejukan, kami meredah hujan untuk menunggu bas pulang ke hotel. Ketawa kami masih berbaki sampai ke dalam bas apabila mengenangkan peristiwa di Versailles tadi.

Pekan Versailles sangat indah. Itupun hanya sempat dihayati ketika kami di dalam bas. Kalau ada peluang, rasa macam nak datang lagi ke sini. Versailles bagi kami sinonim dengan keindahan dan kedamaian. Harus disebut sekali lagi, lelaki di Versailles ini memang handsome sangat-sangat. Ya, kami tentu tak lupa tentang itu. Pasti!


Comments

Popular posts from this blog

About Sweden...

#4. Projek Mengecat

Tak ada "ong"