October 10, 2008_Karolinska Institutet @ Sweden
Pertama kali terdedah dengan suhu sejuk melampau, badan aku memang tak boleh nak sesuaikan diri. Balik dari Riga, terus demam. Cuaca kering menyebabkan kulit muka aku mengelupas teruk. Sendiri pun takut nak tengok. Macam kulit bayi yang mengelupas. Terpaksa beli krim muka cap CD atas kapal ke Riga itu hari sebab lotion muka yang aku pakai memang tak mampu melindungi kulit muka dari kekeringan yang melampau. Pulak tu, pedih bila dipakai. Aku agak antara puncanya sebab terlalu terdedah dengan angin yang mengeringkan semasa lepak di dek kapal.
Hari ini dah rasa sihat sikit, aku rancang nak pergi ke Karolinska Institutet (KI), tempat Qory belajar. Kawan aku ini sudahpun memulakan pembelajarannya sebaik sahaja balik dari Riga. Tinggal la aku seorang diri di bilik penginapan.
Selepas memasak nasi goreng buat bekalan keluar nanti, aku pun memulakan perjalanan ke KI seorang diri. Dengan petua perjalanan yang diberi olehnya, aku pun naik bas dari Lappkärrsberget hingga ke Sveaplan. Di Sveaplan, tukar bas hingga ke KI. Jumlah masa perjalanan lebih kurang 40 minit. Itupun sebab dah terlajak turun bas di Sveaplan. Di sini, kalau nak turun bas kena tekan loceng awal-awal dan standby di pintu.
Qory sudahpun menunggu aku di pintu KI. Tak percaya pula boleh menjejakkan kaki di salah sebuah universiti perubatan terkenal di dunia. Ditubuhkan oleh Raja Karl XIII pada tahun 1810 sebagai akademi pakar bedah terlatih tentera.
Tahukah anda pengasas Hadiah Nobel berasal dari Stockholm, Sweden?
Setiap tahun sejak 1901, Hadiah Nobel diberikan untuk pencapaian dalam bidang fizik, fisiologi kimia, atau perubatan, sastera dan keamanan. Hadiah Nobel merupakan pengiktirafan antarabangsa yang dikendalikan oleh Yayasan Nobel di Stockholm, Sweden. Pada tahun 1968, Sveriges Riksbank (bank pusat Sweden dan pihak berkuasa awam yang terletak di bawah Riksdag, Parlimen Sweden) mendirikan The Sveriges Riksbank Prize in Economic Sciences untuk memperingati Alfred Nobel, pengasas Hadiah Nobel. Penerima Hadiah Nobel akan mendapat hadiah yang terdiri daripada pingat, diploma peribadi dan penghargaan wang tunai.
Sejarah hadiah tersebut berlaku pada tahun 1895 apabila Alfred Nobel menulis wasiat untuk meninggalkan segala kekayaannya bagi menubuhkan Hadiah Nobel. Beliau merupakan seorang saintis, pereka cipta, usahawan, penulis dan pencinta damai.
Aku dibawa melawat sekitar universiti ini dan juga ke pejabatnya. Tidak ketinggalan juga kawasan penginapannya ketika mula datang ke Stockholm pada tahun 2007. Kami menghabiskan masa di dalam universiti dan kawasan sekitarnya lebih kurang 2 jam sebelum berjalan kaki ke pekan Solna yang boleh tahan jauhnya dari universiti.
Musim luruh, malam menjadi lebih panjang dari waktu siang. Tidak hairanlah kalau pukul 6 petang, dah gelap macam malam. Waktu gelap macam inilah haiwan seperti arnab dan rusa akan keluar mencari makan. Semasa berjalan kaki ke pekan Solna, terserempak dengan arnab yang sangat comel. Dalam kegelapan malam, nampak bersinar-sinar biji matanya.
Di musim luruh juga, kebanyakan kedai dan kompleks membeli belah ditutup awal. Memang agak stress juga berjalan dalam suasana mulai lenggang walaupun malam masih muda. Kami berada di Solna Centrum tidak lama kerana kebanyakan kedai sudah ditutup ataupun sedang berkemas-kemas untuk ditutup.
Kami menaiki metro di stesen metro yang terdapat di sini untuk pulang ke tempat penginapan. Malam masih muda tetapi suhu makin sejuk terasa. Seluar jeans yang aku pakai ini rasa macam basah, sejuk semacam. Aduhh, mulalah tak sabar nak sampai ke bilik.
Comments
Post a Comment
Ingatlah...Setiap Perkataan Diadili Kelak