04 July 2010_Granada.Andalusia

Akhirnya kami sampai ke destinasi terakhir pengembaraan ini, iaitu bandar Granada.

Ianya sebuah bandar yang terletak di Selatan Sepanyol dan salah sebuah bandar yang membentuk Andalusia. Dalam sejarah tamadun Islam, selepas kejatuhan Cordoba iaitu ibu kota Andalusia, Granada adalah wilayah terakhir yang bertahan dalam mempertahankan Islam. Ianya berlaku pada zaman pemerintahan Bani al- Ahmar yang telah menguasai wilayah terakhir Andalusia ini dari tahun 620 - 897H.

Penyerahan wilayah ini terpaksa dilakukan demi menyelamatkan maruah pemerintah Islam di bawah pimpinan Abu Abdullah daripada diguling dengan lebih teruk.

Penyerahan dilakukan dalam bentuk perjanjian di antara pihak Islam dan Kristian. Pihak Kristian yang diketuai oleh Raja Ferdinand dan Ratu Isabella dikatakan mengandungi 67 perkara iaitu antara lain menjamin keselamatan orang Islam untuk terus tinggal di Sepanyol dan juga jaminan keselamatan sekiranya mereka memilih untuk keluar dari Sepanyol menuju daerah lain, terutama untuk kembali ke Afrika Utara.

Namun perjanjian yang tidak pernah ditunaikan oleh pihak Kristian itu nampaknya menjadi senjata yang menikam umat Islam terus menerus sehingga mereka tidak lagi mampu bertahan apatah lagi untuk merampas kembali Andalusia ini. Kesan-kesan peninggalan umat Islam, ketamadunan yang dibina dan seumpamanya telah banyak dimusnahkan.

Ketika Bani Ahmar memerintah Andalusia, wilayah pemerintahan mereka sudah menguncup, tidak lagi sepertimana pada zaman kegemilangan pemerintahan Abdul Rahman III. Secara khusus, pemerintahan mereka hanya melibatkan wilayah Granada sahaja yang menjadi daerah terletaknya istana yang masyhur iaitu istana Al-Hamra’ atau dalam bahasa Sepanyol hari ini lebih dikenali sebagai al-Hambra.

Oleh kerana berlaku perselisihan keluarga dalam hal mewarisi kepimpinan, akhirnya telah menyebabkan pergolakan anak-beranak berlaku dan seterusnya melemahkan lagi pemerintahan Islam di Granada ini. Disebabkan Abu Abdullah tidak berpuas hati dengan pewarisan takhta yang ditunjukkan oleh bapanya, iaitu kepada saudaranya yang lain, lalu beliau memberontak sehingga dalam pemberontakan tersebut telah mengorbankan nyawa bapanya. Namun, takhta pemerintahan tidak menyebelahi Abu Abdullah, tetapi ia beralih kepada Muhammad ibn Sa’ad.

Lalu perancangan dibuat dalam bentuk kerjasama antara Raja Ferdinand dan Abu Abdullah untuk merampas kembali takhta pemerintahan. Rampasan itu berjaya, ringkasnya Abu Abdullah dapat menduduki takhta tetapi bagi jangkamasa yang pendek disebabkan tekanan dari Ferdinand untuk mendapatkan habuan. Habuannya tidak lain tidak bukan ialah penyerahan wilayah Granada ini kepada beliau, lantas masyhurlah Ferdinand yang beristerikan Isabella sebagai raja yang berjaya menumbangkan kerajaan terakhir Islam di Andalusia.

Kejatuhan Andalusia rupanya adalah kelemahan pemerintahan yang sanggup menggadai prinsip mereka demi mendapat bantuan sokongan untuk menduduki takhta yang hanya buat sementara sahaja. Selain itu, ia turut disebabkan beberapa faktor, iaitu:

1. Usaha agresif puak Kristian untuk menakluk kembali wilayah yang ditadbir oleh kaum Muslimin sehingga menyebabkan pertahanan mereka terus rapuh dan tidak mampu bertahan atas serangan fikri dan askari yang dilakukan tentera musuh. Gerakan ini lebih dikenali sebagai Reconquista. Tidak dinafikan ia mempunyai kaitan dengan usaha pihak Kristian untuk menakluk wilayah yang telah jatuh ke tangan umat Islam di seluruh dunia di mana ia seolah turut terkesan dengan pergerakan tentera Salib yang menumpukan perhatian di wilayah umat Islam di Asia Barat.

2. Ketiadaan sokongan dari pemerintah Islam di wilayah luar Andalus, melainkan sokongan yang sering diterima hanyalah dari Afrika Utara sahaja.

3. Tiada mekanisma dalam mencari pengganti yang layak (succession plan) untuk meneruskan pemerintahan di mana kebanyakkan mereka mewariskan kepimpinan kepada anak beranak atau ahli keluarga.

4. Tiada kesepakatan (wehdatul fikri dan wehdatul amal) dalam mentadbir wilayah yang dikuasai sehingga wujud perbezaan pemerintahan antara satu wilayah dengan wilayah yang lain. Perbezaan fikrah yang wujud dikalangan
mereka banyak membawa keruntuhan dan kurang usaha untuk bekerjasama dalam hal-hal yang disepakati.

Kesan daripada kejatuhan inilah umat Islam dihina dan dihalau keluar dari Andalusia. Ia turut terpalit kepada kaum Yahudi, di mana tiada kuasa yang boleh melindungi mereka setelah kerajaan Islam menjadi lemah seterusnya runtuh. Kehinaan yang diterima sepertimana berdasarkan perintah yang dikeluarkan pada tahun 1492M iaitu setiap orang Yahudi yang enggan dibaptis, mereka perlulah keluar dari Andalusia dalam tempoh 3 bulan. Ia dikuti perintah yang dikeluarkan 10 tahun selepas itu kepada mereka yang tidak mahu dibaptiskan, iaitu perintah pada Februari 1502 di mana pihak Kristian mengusir golongan pendatang yakni orang Islam dari Seville dan sekitarnya. Jelas, kejatuhan pemerintahan yang berlaku bukan sekadar peralihan kuasa politik, tetapi ia turut memberi kesan kehinaan kepada umat Islam, malah ada di antara mereka yang diperangi ketika sudah bersedia keluar dari Andalusia.

(petikan ini diambil dari http://www.dobot.com.my/pdf/paperdrroslan.pdf berdasarkan paper Dr. Mohd Roslan Mohd Nor, UM)

Misi kami ke sini adalah untuk melihat sendiri tinggalan sejarah tamadun Islam di Al-Hambra yang terkenal itu. Nantikan entry seterusnya...

Comments

Popular posts from this blog

About Sweden...

#4. Projek Mengecat

Tak ada "ong"