Linköping_July 1, 2009


Hari terakhir di bandar Linköping. Aktiviti dimulakan dengan lawatan ke Berg Slussar, Göta Canal (Swedish: Göta kanal). Göta Canal ini adalah sebuah terusan yang dibina pada awal abad ke-19 sepanjang 382 batu (614km). Ianya ini menjadi tulang belakang laluan air yang menghubungkan beberapa tasik dan sungai. Terusan ini menyediakan laluan dari Gothenburg (Swedish: Göteborg) yang terletak di sebelah pantai barat ke Söderköping yang terletak di Laut Baltic. Laluan ini merangkumi sungai Göta älv dan Trollhätte kanal dan juga dua tasik terbesar di Sweden iaitu Vänern dan Vättern.




Göta kanal merupakan terusan yang hampir serupa dengan terusan Caledonian Canal di Scotland yang juga dibina oleh Thomas Telford. Terusan ini dibina dengan 58 kunci air yang digelar atau dikenali sebagai "the divorce ditch" sempena peristiwa sepasang suami isteri yang mengharungi pelbagai dugaan dan masalah ketika mengendalikan sendiri kunci-kunci air sepanjang terusan ini.



Ketika sampai di sini, kami bernasib baik kerana berpeluang melihat proses bagaimana kunci-kunci air ini dibuka satu persatu. Air di dalam satu kunci akan dipenuhkan atau dikurangkan bagi menyamakan parasnya dengan air di dalam kunci di atas atau di bawahnya. Apabila paras air telah sama, barulah gate dibuka untuk membolehkan bot atau kapal melaluinya.









Selesai lawatan di sini, kami pergi ke stesen minyak berhampiran untuk memulangkan kereta yang disewa. Selepas ini, kami perlu menaiki bas atau berjalan kaki untuk pergi ke tempat yang lain.


Destinasi kedua kami adalah Gamla Linköping (Old Linköping) iaitu sebuah muzium terbuka yang terletak di sebelah barat bandar Linköping. Ianya terdiri daripada 90 bangunan di pertengahan abad ke-19 yang kebanyakannya diperbuat daripada kayu. Bangunan lama ini dipindahkan dari pusat bandar semasa pembangunan semula dijalankan. Sebilangan bangunan bersejarah yang terdapat di sini berasal dari wilayah Östergötland. Rumah, jalan, papan tanda, taman dan lain-lain menceritakan kisah kehidupan harian dan persekitaran masyarakat ketika itu.








Terdapat juga sebuah kilang membuat coklat yang memang terkenal di sini iaitu Cloetta. Harga yang dijual juga lebih murah berbanding di kedai.











Dari Gamla Linköping ini, kami menuju ke universiti tempat Kak Maya menuntut. Kami melalui jalan di dalam hutan yang menghijau. Universiti Linköping (Sweden: Linköping Universitet) asalnya salah satu fakulti Universiti Stockholm yang mempunyai kuasa autonomi. Kemudian, ianya telah dinaiktaraf menjadi high school dan seterusnya diiktiraf sebagai universiti.






Lawatan ke Universiti ini merupakan agenda terakhir kami di sini. Selepas lawatan tersebut, kami kembali ke bilik Kak Maya untuk solat dan makan. Lebih kurang pukul 5.30 petang, kami bertolak ke stesen bas untuk menaiki bas pulang ke Stockholm. Badan yang keletihan membuatkan kami lena sepanjang jalan.


Hej då Linköping!





Comments

  1. Hi there!
    Beautiful photos, nicely arranged and concise information!

    Keep up the good work!

    ReplyDelete

Post a Comment

Ingatlah...Setiap Perkataan Diadili Kelak

Popular posts from this blog

About Sweden...

#4. Projek Mengecat

Tak ada "ong"