Linköping_June 29, 2009

Mood mengimbau kenangan vacation 2009 datang lagi. Kali ini, sambung tentang bandar yang terletak di Selatan Sweden pula, daerah Östergötlan, bandar Linköping (sebutannya "Linshopping").

Dari Stockholm, perjalanan memakan masa lebih kurang 3 jam dengan menaiki bas. Rancangan diatur untuk menghabiskan dua hari di sana.

Seawal jam 7.30 pagi, kami telah pun berada di stesen pendeltåg (stesen komuter) Flemingsberg untuk menaiki tren ke City Terminalen. Dari City Terminalen, kami akan menaiki bas ekspres ke Malmö. Tiket bas telah pun di beli menerusi internet. Di sini sistemnya cukup mudah. No. tiket akan di sms ke no. telefon bimbit pembeli dan hanya perlu ditunjukkan kepada pemandu semasa menaiki bas.

Sepanjang perjalanan, mata terpukau dengan keindahan alamnya. Rumput yang menghijau dengan bunga renek yang bewarna warni menghasilkan kombinasi yang mengagumkan. Juga, tasik yang airnya kebiruan.



Sampai di stesen bas Linköping jam 12.30 tengahari. Dalam setengah jam menunggu kawan Qory, Kak Maya datang ambil dengan kereta yang disewa. Kereta ini Qory minta Kak Maya tolong sewakan bagi pihak kami. Senang nak berjalan sekitar bandar ini nanti.

Kami dibawa ke tempat penginapan beliau di Björnkärrsgatan 4. Björnkärrsgatan ini adalah perumahan untuk student yang menuntut di sini. Konsep penginapan ini sama macam yang Qory duduk di Lappkärrsberget dulu. Setiap bilik dilengkapi dengan bilik air sendiri. Hanya perlu berkongsi dapur.

Lepas makan tengahari dan solat, kami memulakan perjalanan dengan memandu ke Gränna. Perjalanan berkereta dari Linköping ke sini mengambil masa lebih kurang 1 jam. Gränna berada dalam daerah Jönköping, wilayah Småland yang masih terletak di Selatan Sweden. Kedudukan bandar ini berdekatan Tasik Vättern iaitu tasik kedua terbesar (luas permukaan) di Sweden selepas Tasik Vänern dan keenam terbesar di Eropah.


Di sini juga terkenal dengan stick candy yang bewarna putih dan merah. Ianya digelar polkagris atau pun polka pig dalam bahasa Swedish. Kebanyakan rumah yang ada di sini bewarna merah bata dan diperbuat daripada kayu. Semasa kami melewati salah sebuah rumah di sini, ada sekumpulan warga emas sedang menikmati minuman petang di taman belakang rumah. Sempat mereka melambai ke arah kami sambil tersenyum dan menyapa "hi". Terasa macam kedatangan kami dialu-alukan.





Destinasi kami seterusnya adalah Brahehus yang terletak di tepi lebuh raya E4. Ini adalah bekas istana yang dibina untuk Count Per Brahe pada tahun 1640-an. Jika dilihat dari tepi lebuh raya, seperti tidak ada apa yang menariknya pada tinggalan sejarah ini. Namun, apabila belakang runtuhan istana ini kami jejaki, kelihatan pemandangan Tasik Vättern dan pulau Visingö yang sungguh cantik. Walaupun hari telah beransur petang, namun matahari masih terik memancar. Tasik yang begitu besar saujana mata memandang, umpama sebuah lautan yang tidak bertepi. Nun, di bawah bukit di mana berdirinya istana ini, kelihatan perkampungan dengan deretan rumah kayu yang memukau pandangan. Dataran yang ditumbuhi rumput menghijau nampak licin seperti padang golf.

The pathway under the highway that leads to Brahehus






The view from one of the window frames, down below is the bank between Gränna and Uppgränna outside which one sees Lake Vättern and the island Visingö





Walaupun masih belum puas menghabiskan masa di tempat yang cantik ini, perjalanan perlu diteruskan. Seterusnya, kami memandu ke Alvastra Kloster iaitu sebuah perkampungan kecil di timur bandar Ödeshög. Beratus tahun yang lalu, perkampungan ini terkenal kerana kewujudan sebuah biara diberi nama Alvastra Monastery yang ditubuhkan pada 1143. Pada masa itu, biara ini adalah yang terbesar di Sweden. Sekarang, cuma tinggal runtuhan yang kami akan lawati nanti.



Semasa kami sampai di sini, suasana senyap dan sunyi. Jam telah menunjukkan hampir pukul 8 malam (2 pagi waktu Malaysia). Walaupun masih cerah, tidak kelihatan kelibat seorang manusia pun di sini. Seram juga untuk meneroka runtuhan biara ini lama-lama. Sementelah pula, banyak kubur dalam kawasan ini.






Perjalanan kami mencari tempat dinamakan Omberg agak mencabar. Entah berapa kali tersesat dan asyik berpusing di tempat yang sama walaupun menggunakan GPS. Ada ketikanya, kami masuk sampai di tengah-tengah hutan yang sunyi sepi.

Omberg ini adalah kawasan pergunungan yang memang terkenal sebagai tempat masyarakat setempat menjalani aktiviti hiking sambil menikmati pemandangan yang mendamaikan mata dan jiwa.

Akhirnya pencarian kami berhasil. Memang cantik sangat tempat ni. Makin naik ke puncak, terasa kesejukan mencucuk sampai ke tulang. Benarlah...tempat ini menjadi tumpuan orang menghabiskan masa di musim panas. Di sana sini kami temui karavan. Ada yang berpasangan dan tak kurang juga datang seorang diri.






Ini adalah pelabuhan dinamakan Borghamn di kaki pergunungan Omberg




Lawatan kami hari ini sepatutnya merangkumi sehingga ke Vadstena. Namun terpaksa dibatalkan kerana hari semakin gelap ditambah dengan suhu yang semakin sejuk. Akhirnya, kami pulang sahaja ke Linköping.

Comments

Popular posts from this blog

About Sweden...

#4. Projek Mengecat

Tak ada "ong"