July 11, 2009_Netherlands @ Amsterdam (Part II)

Bestnya dapat duduk dalam kapal setelah separuh hari berjalan kaki. Berapa kalori habis ni.huhu..


Kami menaiki Holland International Cruise untuk menikmati pemandangan bandar Amsterdam. Cruise ini selesa sangat sebab ada bumbung dan tempat duduk pun empuk. Ada pemandu pelancong yang akan menerangkan setiap tempat yang dilalui. Jom layan gambar pula...










Perjalanan menaiki cruise ini lebih kurang 1 jam. Seterusnya, kami kembali ke kawasan Dam Square. Oleh kerana masih ada masa, kami pun masuk ke Madame Tussauds. Tempat apa Madame Tussauds ni?

Ianya adalah sebuah Wax Museum yang memaparkan waxworks tokoh sejarah dan royal figures, artis, bintang sukan dan tidak ketinggalan pembunuh yang terkenal.

Mula diasaskan oleh wax sculptor bernama Marie Tussauds di London. Beliau dilahirkan pada 1 Disember 1761 di Strasbourg, France. Ibunya bekerja sebagai pembantu rumah Dr. Philippe Curtius di Bern, Switzerland iaitu seorang doktor perubatan yang mahir dalam pemodelan lilin. Curtius lah yang telah mengajar Tussaud seni pemodelan lilin. Beliau mati pada 16 April 1850 di usia 88 tahun.

Sebelah kanan itu adalah patung Tussaud


Tiket boleh dibeli di kedai-kedai runcit terpilih ataupun di muzium ini sendiri. Untuk mengelakkan beratur panjang, kami beli tiket siap-siap di kedai runcit berdekatan hotel.

Masuk-masuk aje, berdiri patung Barack Obama. Punya la excited kami bergambar. Namun sayangnya, masa nak beli gambar tu, mereka kata tak ada la, itu la, ini la. Bosan sangat sebab pekerja di situ berdolak dalik. Akhirnya, kempunan la nak simpan gambar dengan Barack Obama.

Dalam muzium ini ada patung pelbagai tokoh, royal figures, bintang filem, penyanyi dan tidak ketinggalan watak-watak dalam filem terkenal seperti spiderman.








Kedai souvenir berhampiran Maddame Tussaud


Ketika keluar dari muzium ini, hari sepatutnya dah malam. Tapi, cuaca masih cerah. Kaki kami melangkah makin jauh dari Madame Tussaud menuju ke Hash, Marihuana Hemp Museum. Ini adalah muzium dadah yang terletak di De Wallen. Er, muzium dadah?


Sejak dibuka pada tahun 1987, hampir satu juta pelawat telah berkunjung ke muzium ini. Muzium ini khusus mempamerkan cannabis dan kegunaannya yang pelbagai. Apa yang dipamerkan di sini, bermula dari sejarah dan asal usul cannabis serta kegunaannya di dalam bidang perubatan, agama dan kebudayaan. Pelawat juga berpeluang masuk ke kebun cannabis untuk melihat pokok cannabis yang hidup dalam pelbagai peringkat pertumbuhan.





Selain dari cannabis, turut dipamerkan di sini kegunaan hemp (jerami atau serat) di dalam bidang pertanian dan industri. Sejak beribu tahun dahulu, penanaman pokok cannabis bagi tujuan mendapatkan jeraminya telah diusahakan untuk pembuatan tali, kanvas, kertas sehinggalah pakaian.




Dari tadi aku menyebut tentang cannabis, lepas tu hemp pula. Manakala nama muzium ada lagi perkataan "hash" dan "marihuana". Sama ke menda-menda ni? Kalau tak sama, apa bezanya?

Sebenarnya, kesemua nama yang disebut di atas berasal dari pokok cannabis sativa. Dari pokok inilah menjelmanya marihuana atau marijuana dan hemp.

Di dalam cannabis mengandungi 421 jenis bahan kimia di mana bahan psikoaktifnya adalah THC (delta-9 tetrahydrocannabinol). Bahan kimia ini merbahaya sekiranya masuk ke dalam badan manusia, ianya akan terkumpul dalam selaput lemak sel saraf otak serta tubuh.

Marihuana yang terhasil dari damar (resin) pokok cannabis mengandungi THC yang tinggi berbanding hemp. Ganja ini juga mengandungi bahan kimia yang disebut sebagai CBD (cannabidiol) yang rendah di mana fungsi CBD adalah untuk menyekat kesan psikoaktif THC di dalam sistem saraf. Maksudnya, di dalam semua tanaman dari keluarga cannabis ini terdapat bahan kimia yang menimbulkan kesan psikoaktif dan bahan yang menyekat kesan tersebut.

Dadah yang telah disalah guna sekarang ni, berasal dari pokok cannabis yang ditanam untuk menghasilkan THC yang tinggi berbanding CBD. Kandungan THCnya dari 3 peratus hingga 22 peratus manakala nisbah kepada CBD nya pula kurang dari 1 peratus. Dalam erti kata lain, lagi tinggi kandungan THC, lagi cepat la "penggunanya lalok".

Berbeza dengan hemp di mana kegunaan utamanya adalah untuk industri, maka kandungan THC di dalamnya lebih rendah berbanding CBD. Biasanya THC kurang dari 1 peratus.

Itu adalah serba sedikit info yang aku baca dari internet. Kalau ada pembaca yang arif tentang cannabis ini mendapati fakta aku terpesong, jangan malu, jangan segan, silalah betulkan.

Lokasi muzium ini berdekatan dengan kawasan paling happening seperti yang aku cerita dalam entry sebelum ini.

Red-light district, yang merupakan kawasan "panas" di Amsterdam ini memang tidak pernah surut dengan pengunjung, lelaki mahupun wanita.


Bahagian tertua di Amsterdam ini dikenali juga dengan nama red neon windows sangat terkenal sebagai kawasan pelacuran yang mengiklankan perkhidmatan mereka melalui bilik kaca atau tingkap yang disimbahi cahaya lampu bewarna merah. Sebelum melihat sendiri keadaan yang digambarkan di dalam brosur-brosur Amsterdam ini, kami tidak dapat membayangkan keadaan tersebut. Orang dipamerkan ditingkap dan dalam bilik berkaca? Macam mana tu?

Mungkin masih terlalu awal untuk mereka beroperasi walaupun jam telah melewati pukul 8.30 malam. Tidak kelihatan pun perempuan yang duduk di tepi tingkap. Walaubagaimanapun, kelab-kelab malam dan kelab live porno telah mula beroperasi. Aku kata beroperasi bukan bermakna aku masuk dalam tu. Tetapi berdasarkan kesesakan orang keluar masuk di pintu kelab tersebut.


Kawasan ini bagi kita yang berpegang kepada ajaran Islam sebenar, mungkin akan rasa ianya amat, (maaf terpaksa menggunakan perkataan ini) "kotor". Sepanjang jalan, tidak terbilang dengan jari kewujudan kelab yang mengadakan show lucah. Kedai yang menjual aksesori untuk tujuan seks juga melambak-lambak. Sampai nak muntah kami tengok.


Semasa melewati sekumpulan orang yang sedang berkumpul dan bergelak ketawa di tepi salah satu bangunan, tiba-tiba sahaja kami disapa.

"Indonesia? Indonesia? Hei, apa khabar?"

"Malaysia? Saya suka Malaysia"

Alamak, ngerinya kami sebab bertemu orang putih yang boleh bercakap bahasa kami. Sebab, kalau dah pandai bercakap bahasa Melayu, besar kemungkinan boleh faham bahasa ini kan. Nasib baik tak ada mengumpat pasal mereka tadi. Tambah ngeri lagi apabila melihat botol ditangannya. Botol apa lagi kalau bukan arak. Okey, nampak gaya kami tak boleh lagi berlama-lamaan di sini sebab makin ramai yang dah mula menonggeng botol arak.

Cepat-cepat kami berlalu dari situ. Dalam hati tak putus berdoa, jangan la dia ikut kami. Tengah mencari jalan keluar dari kawasan ini, mata tertangkap kelibat seperti yang terdapat dalam brosurAmsterdam.

Ya, perempuan di red neon windows. Hanya berpakaian, eh, patut kata berpakaian ke walau hanya dengan 2 pieces sahaja? Macam-macam aksi yang dibuat untuk menarik pelanggan mendapatkan khidmat mereka.


Makin jauh kami melangkah, makin banyak situasi yang sama kami temui. Ada yang duduk di tingkap, ada yang dalam bilik berdinding kaca. Ada yang bergaya seorang diri, ada yang berkumpulan.

Macam tak percaya apa yang kami saksikan. Aktiviti pelacuran juga aktif di negara kita, tetapi di Malaysia, pekerjaan ini dijalankan secara haram. Pada tahun 1988, pelacuran telah diiktiraf sebagai pekerjaan yang sah di negara Belanda ini. Undang-undang baru yang diperkenalkan pada tahun 2000 telah menjelaskan lagi kedudukan pelacuran sebagai pekerjaan yang dihalalkan, tertakluk kepada peraturan perbandaran berkenaan kawasan, organisasi dan amalan perniagaan.

Pihak berkuasa cuba untuk mengawal kegiatan pelacuran bagi melindungi kanak-kanak dan pelacuran secara paksa serta memerangi fenomena baru perdagangan manusia. Setiap perniagaan berasaskan perkhidmatan seks ini perlu mendapat lesen dari pihak berkuasa tempatan sebagai satu isyarat telah memenuhi syarat-syarat sah untuk beroperasi.

Sesuai dengan pengiktirafan pelacuran sebagai pekerjaan sah, sex workers ini perlu membuat deklarasi cukai dan membayar cukai pendapatan.

Kawasan kami berada ini semakin sesak dengan pelbagai jenis manusia. Ada yang melancong macam kami dan tidak kurang juga penduduk tempatan. Dari kawasan yang sesak dengan "pameran orang di jendela", kami sampai ke kawasan gereja lama. Gereja yang di kenali dengan nama Oude Kerk (Old Church) ini berasal dari awal abad ke-13. Di sini juga ramai pelancong sedang mengambil gambar.


Selepas snap dua tiga keping gambar, kami mencari jalan untuk keluar dari kawasan ini. Hingar bingar ini ingin cepat kami tinggalkan.

Berakhir sudah perjalanan kami untuk hari ini. Katten Cabinet, iaitu galeri untuk pencinta kucing tidak sempat kami kunjungi. Di dalam rencana perjalanan kami ke sini, muzium arts adalah tempat yang kami tidak akan masuk. Walaupun ada tempat yang menarik tidak sempat kami kunjungi, sekurang-kurangnya banyak yang kami belajar dari kembara singkat ini.

Awal pagi esok, kami akan meninggalkan Amsterdam.



Comments

Post a Comment

Ingatlah...Setiap Perkataan Diadili Kelak

Popular posts from this blog

About Sweden...

#4. Projek Mengecat

Tak ada "ong"